Program Sarawakku Sayang di Samarahan 22 November, Kuching 24 November

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua bercakap pada sidang media Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan dan Kuching di Pejabat RISDA Negeri Sarawak.

KOTA SAMARAHAN, 16 November: Hadiah utama berupa sebuah kereta menerusi e-Peraduan, selain persembahan penyanyi Ezzad Lazim dan Jamal Abdillah, menjadi antara tarikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 yang bakal berlangsung di Bahagian Samarahan dan Kuching bulan ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua berkata, program di Bahagian Samarahan akan berlangsung pada 22 dan 23 November di Halaman Samarahan, manakala program di Bahagian Kuching pula dijadualkan pada 24 dan 25 November di Metrocity Matang.

“Majlis perasmian SKS 2026 Bahagian Samarahan dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 November, jam 3 petang di Khemah Utama, Halaman Samarahan.

“Sementara itu, majlis perasmian bagi Bahagian Kuching akan disempurnakan oleh beliau pada 25 November, jam 3 petang di Khemah Utama, Metrocity Matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Sarawakku Sayang 2026 bagi Bahagian Samarahan dan Kuching di Pejabat RISDA Negeri Sarawak, di sini.

Menurutnya, Konsert Rakyat di Bahagian Samarahan bakal menampilkan persembahan Ezzad Lazim, manakala Jamal Abdillah akan membuat persembahan pada program di Bahagian Kuching.

SIDANG media Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Samarahan dan Kuching di Pejabat RISDA Negeri Sarawak.

“Kedua-dua program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai, termasuk sukaneka rakyat dan e-Peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung.

“Selain aktiviti hiburan dan kekeluargaan, program ini turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat, perkhidmatan serta bantuan yang disediakan kerajaan.

“Antara tumpuan ialah kaunter pertanyaan Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang menyediakan penerangan mengenai syarat kelayakan, kadar bantuan dan kaedah penyaluran secara digital menerusi platform SPay Global,” jelasnya.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), termasuk institusi yang terlibat, bidang pengajian dan syarat kelayakan.

“Kaunter JobSarawak turut disediakan bagi membolehkan golongan belia dan pencari kerja mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya serta padanan pekerjaan dengan majikan yang mengambil bahagian.

“Selain itu, saringan kesihatan, saringan kecergasan dan pameran kesihatan secara percuma turut disediakan sepanjang program berlangsung.

“Program Sarawakku Sayang juga menjadi platform untuk memperkenalkan pencapaian serta agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah