LIMBANG, 16 November: Pelajar Tingkatan Enam di Limbang bakal menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih luas dan selesa apabila Pusat Tingkatan Enam Limbang dijangka mula beroperasi pada Jun tahun depan.
Kemudahan yang dibina dengan kos keseluruhan RM9 juta itu merupakan usaha memperkukuh akses pendidikan prauniversiti di daerah berkenaan, selain perancangan pembinaan Kolej Tingkatan Enam yang turut dikenal pasti untuk Limbang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, cadangan pembinaan kolej berkenaan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
Menurutnya, selain Limbang, dua lagi lokasi yang dikenal pasti bagi pembinaan kolej seumpamanya ialah Miri dan Samarahan.
“Kita juga mempunyai perancangan untuk menubuhkan Kolej Tingkatan Enam, dan salah satu lokasi yang dikenal pasti ialah di Limbang. Selain itu, dua lagi kolej seumpamanya dirancang di Miri dan Samarahan.
“Kolej Tingkatan Enam ini akan beroperasi secara lebih tersendiri dan tidak lagi menumpang di sekolah menengah. Saya difahamkan, perancangan ini telah dimasukkan dalam RMK-13 dan diharapkan dapat direalisasikan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Pusat Tingkatan Enam Limbang hari ini.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Siti Mariam Salleh.
Pusat Tingkatan Enam Limbang sebelum ini beroperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong sebelum dipindahkan ke tapak lama SMK Limbang bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih luas dan selesa kepada pelajar.
Bagi melengkapkan pusat berkenaan dengan kemudahan bersesuaian, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) bersetuju melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bangunan serta menambah kemudahan asrama dan kantin.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kemudahan asrama memerlukan kerja pembaikan yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, Abdul Rahman mengambil inisiatif mendapatkan peruntukan khas daripada Premier Sarawak dengan anggaran tambahan kira-kira RM2.5 juta bagi menampung kos kerja pembaikan berkenaan.
Oleh Adeng Edrus




