MALUDAM, 16 November: Kemudahan parkir di Masjid Baharu Maludam kini dipertingkatkan menerusi projek pembinaan tempat letak kereta baharu yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus meningkatkan keselesaan jemaah dan masyarakat setempat.
Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi telah mengadakan lawatan tapak ke projek berkenaan kelmarin bagi meninjau hasil pelaksanaannya serta memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan pengguna.
Turut menyertai lawatan itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam, Datu Mual Suaud, bersama beberapa pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.
Projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan khas Dana Bantuan Pembangunan Khas (SDAF) itu bermula pada 6 Julai lalu dan berjaya disiapkan pada 15 Oktober, lebih awal daripada jadual asal.
Skop pembinaan merangkumi kerja-kerja rawatan tanah, penembokan, pembinaan sistem perparitan serta penyediaan kawasan parkir berturap premix bagi menyediakan kemudahan yang lebih teratur dan selesa kepada pengguna masjid.

Dalam pada itu, JKR Bahagian Betong memainkan peranan penting dalam penyelarasan, pemantauan dan penyeliaan teknikal bagi memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi, standard kualiti dan tempoh yang ditetapkan.
Semasa lawatan tersebut, pihak JKR Bahagian Betong turut memberikan taklimat kepada Timbalan Menteri dan rombongan mengenai pelaksanaan serta status penyiapan projek berkenaan.
Penyiapan projek lebih awal daripada jadual itu mencerminkan komitmen JKR Sarawak dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan dengan cekap dan memenuhi standard kualiti, selain memberikan manfaat langsung kepada masyarakat.
Kemudahan parkir baharu itu dijangka meningkatkan keselesaan jemaah, khususnya ketika menunaikan solat Jumaat, menghadiri program keagamaan serta menyertai pelbagai aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai di Masjid Baharu Maludam.
Oleh Adi Safarman




