Ular cincin emas 1.5 meter bersembunyi di pokok limau ditangkap APM

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Spaoh berjaya menangkap seekor ular Cincin Emas sepanjang kira-kira 1.5 meter yang bersembunyi di atas pokok limau di Kampung Hilir Bungin. Foto: APM Spaoh

SPAOH, 16 November: Kemunculan seekor ular Cincin Emas sepanjang kira-kira 1.5 meter yang bersembunyi di atas pokok limau mencetuskan kebimbangan penghuni sebuah rumah di Kampung Hilir Bungin, di sini, petang  ini.

Bagaimanapun, situasi mencemaskan itu berjaya dikawal apabila sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh bertindak pantas menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Menurut kenyataan APM Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.02 petang.

Susulan laporan tersebut, Skuad Charlie APM Spaoh segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular serta memastikan keselamatan penghuni rumah terbabit.

Setibanya di lokasi, anggota APM melakukan pemeriksaan di sekitar pokok limau sebelum berjaya mengesan seekor ular Cincin Emas atau dikenali sebagai Gold-ringed Cat Snake yang dianggarkan sepanjang 1.5 meter.

Dengan menggunakan peralatan khas dan teknik menyepit secara berhati-hati, anggota penyelamat berjaya menangkap ular berkenaan dalam tempoh singkat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Ular itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak khas sebelum dibawa dan dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

Tindakan pantas anggota APM itu berjaya mengelakkan sebarang risiko kepada penghuni rumah serta memastikan reptilia berkenaan dapat dikendalikan dengan selamat.

Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan atau penemuan haiwan berbisa boleh menghubungi APM Spaoh menerusi talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman