Ular sawa batik ditemui berhampiran tong sampah sekolah di Debak

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Debak berjaya menangkap seekor ular sawa batik yang dianggarkan berukuran kira-kira 0.6 meter ditemui di kawasan tong sampah sebuah sekolah di Debak. Foto: APM Debak

DEBAK, 16 November: Kehadiran seekor ular sawa batik di kawasan tong sampah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Debak hari ini mengundang kebimbangan warga sekolah sebelum reptilia itu berjaya ditangkap oleh pasukan penyelamat.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan haiwan berbisa berkenaan di premis sekolah tersebut.

Susulan maklumat yang diterima, sepasukan anggota APM Daerah Debak segera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi khidmat khas menangkap dan memindahkan reptilia itu.

Setibanya di lokasi, anggota bertugas segera melakukan pemeriksaan teliti di sekitar kawasan tong sampah berkenaan bagi mengesan kedudukan sebenar haiwan terbabit.

Hasil kecekapan anggota operasi, ular sawa batik yang dianggarkan berukuran kira-kira 0.6 meter panjang itu berjaya dikesan dan ditangkap menggunakan peralatan khas penangkap ular.

Menurut APM Daerah Debak, keseluruhan operasi tersebut berjalan dengan lancar dan reptilia berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Tindakan pantas itu diambil bagi memastikan keselamatan seluruh warga sekolah terjamin serta mengelakkan sebarang risiko ancaman terhadap murid-murid dan kakitangan yang berada di kawasan tersebut.

Oleh Adi Safarman