KUCHING, 16 November: Seramai 200 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mengikuti Taklimat Persiapan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) bagi memastikan tahap kesiapsiagaan, kefahaman perundangan dan profesionalisme anggota sentiasa berada pada tahap ditetapkan.
Menurut kenyataan Briged Sarawak PGA, taklimat yang berlangsung di Dewan Pahlawan, Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA, hari ini, melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA dan Batalion 11 PGA, Batu Kawah, Kuching.
Penganjuran taklimat itu merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan dalam menghadapi tanggungjawab penugasan sepanjang proses PRN13, khususnya dalam memastikan setiap anggota memahami peranan serta prosedur yang perlu dipatuhi.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Inspektor (D5) Litigasi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Inspektor Mohamad Amin Nor Syafik Mohamed.
Beliau memberikan pendedahan berkaitan aspek perundangan serta perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan tugas sepanjang pilihan raya.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dibubarkan secara rasmi pada 26 Oktober lalu, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November 2026 sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian biasa.
Turut hadir ialah Pegawai Turus Latihan Briged Sarawak PGA, ASP Alkarnia Nyohid bersama pegawai-pegawai kanan daripada Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA dan Batalion 11 PGA.
Briged Sarawak PGA turut menegaskan bahawa profesionalisme, integriti dan prinsip berkecuali merupakan asas utama yang perlu dipelihara oleh setiap anggota ketika menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Setiap anggota bukan sahaja perlu melaksanakan amanah berdasarkan undang-undang dan peraturan, malah dituntut mengekalkan disiplin, kematangan serta kewibawaan sebagai anggota pasukan keselamatan.
Persediaan rapi, kefahaman menyeluruh dan keseragaman tindakan dilihat penting bagi memastikan setiap penugasan sepanjang PRN13 dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan serta berlandaskan lunas perundangan.
Oleh Adi Safarman




