KAPIT, 16 November: Kira-kira 300 pemimpin masyarakat dan wakil rumah panjang menyatakan sokongan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN-13) akan datang.
Sokongan itu dizahirkan pada Program Bersama Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Pelagus di salah sebuah restoren, di sini.
Nyabong berkata, program tersebut telah menghimpunkan ketua-ketua kaum, kira-kira 80 tuai rumah, 187 wakil Biro Wanita rumah panjang di bawah DUN N.61 Pelagus serta barisan EXCO Pergerakan Wanita dan EXCO Pemuda PRS Bahagian Pelagus.

“Majlis ini bukan sahaja menjadi ruang mengeratkan hubungan silaturahim, malah platform untuk bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai pelbagai inisiatif, bantuan serta projek pembangunan yang telah dilaksanakan di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai usaha pembangunan telah disalurkan kepada rumah panjang, termasuk projek-projek utama di seluruh kawasan DUN Pelagus bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara bersama oleh masyarakat setempat.
Nyabong turut menghargai peranan aktif golongan wanita yang disifatkannya sebagai antara penggerak penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan yang dizahirkan oleh para hadirin terhadap pencalonan semulanya merupakan satu penghargaan dan amanah besar.
“Kepercayaan serta dorongan masyarakat Pelagus, khususnya pemimpin masyarakat, Biro Wanita dan penduduk rumah panjang, menjadi sumber semangat untuk saya terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Wanita PRS Bahagian Pelagus atas penganjuran majlis berkenaan serta semua pihak yang hadir dan memberikan sokongan.
Oleh Akun Giman




