Pokok mempelam setinggi 9.1 meter tumbang, halang laluan ke Pasar Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
SEBATANG pokok mempelam setinggi 9.1 meter tumbang dan menghalang laluan menuju ke pasar di Kampung Melayu, Lubok Antu. Foto: APM Lubok Antu

LUBOK ANTU, 16 November: Sebatang pokok mempelam setinggi 9.1 meter tumbang dan menghalang laluan menuju ke pasar di Kampung Melayu, Lubok Antu, pagi tadi.

Kejadian itu mencetuskan tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurut APM Daerah Lubok Antu, seramai empat anggota MYASPA-O Delta digerakkan ke lokasi menggunakan ambulans pacuan empat roda bagi melaksanakan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang.

Setibanya di lokasi, anggota mendapati pokok berkenaan menghalang laluan utama menuju ke pasar, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi memastikan laluan dapat digunakan semula.

Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan dilakukan menggunakan gergaji berantai serta parang sehingga keseluruhan halangan berjaya dialihkan dan laluan dibersihkan sepenuhnya.

Operasi berkenaan tamat pada 9.37 pagi tanpa sebarang maklumat mengenai kecederaan dilaporkan.

Sehubungan itu, APM menasihatkan orang awam supaya segera menghubungi pihaknya sekiranya berlaku kejadian kecemasan seumpama itu bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan segera.

Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada APM Lubok Antu menerusi talian 083-584639 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman