Hans Isaac umum pertunangan dengan Francisca Luhong James

Facebook
WhatsApp
FOTO Hans dan Francisca memperlihatkan cincin pertunangan berlatarkan Menara Eiffel di Paris, Perancis.

KUCHING, 16 November: Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Hans Isaac mengumumkan berita gembira apabila mengikat tali pertunangan dengan ratu cantik kelahiran Kuching, Francisca Luhong James.

Perkhabaran itu dikongsikan sendiri oleh Hans menerusi hantaran di Instagram hari ini dengan memuat naik beberapa foto bersama Francisca, termasuk gambar yang memperlihatkan cincin pertunangan berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris, Perancis.

Menerusi kapsyen hantaran itu, Hans, 55, meluahkan rasa syukur dan gembira apabila wanita pilihannya menerima lamaran untuk menjadi teman hidupnya.

HANS meluahkan rasa syukur dan gembira apabila wanita pilihannya menerima lamaran untuk menjadi teman hidupnya.

Beliau turut menyifatkan keputusan melamar Francisca sebagai keputusan terbaik yang pernah dibuatnya, selain menggelar wanita itu sebagai insan kegemarannya.

Hans turut berseloroh bahawa selepas ini, peminat tidak perlu lagi bertanyakan soalan mengenai bilakah beliau akan menamatkan zaman bujangnya.

Francisca, 31, merupakan anak kelahiran Kuching yang pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2020 dan mewakili negara ke pertandingan Miss Universe 2020 di Florida, Amerika Syarikat, pada Mei 2021.

Beliau mencipta sejarah sebagai wanita Dayak pertama memenangi gelaran Miss Universe Malaysia.

Francisca juga mempunyai latar belakang keturunan Kayan, Kenyah dan Iban.

Pengumuman pertunangan itu mendapat perhatian rakan selebriti serta peminat yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa buat pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, Hans dan Francisca belum mengumumkan butiran lanjut mengenai perancangan perkahwinan mereka.