190 unit kediaman RKAT bernilai RM119.1 juta siap di Kem Muara Tuang

Facebook
WhatsApp
NANTA ketika meninjau salah sebuah unit kediaman yang disediakan menerusi projek pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan. Foto Adele Rissa

KOTA SAMARAHAN, 16 November: Sebanyak 190 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bernilai RM119.1 juta di Kem Muara Tuang di sini siap dibina bagi menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang dibangunkan di kawasan seluas 1.15 hektar itu telah memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 2 Oktober lalu.

Menurutnya, penyediaan kediaman berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka, selain membantu mengurangkan keperluan menyewa kediaman di luar kem.

“Apabila keluarga tinggal dalam keadaan yang selamat dan selesa, anggota tentera akan dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang serta menumpukan perhatian kepada tanggungjawab menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan RKAT Pelbagai Kelas di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

MENTERI Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi (tengah) menyempurnakan simbolik penyerahan replika kunci bangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sempena majlis penyerahan projek di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan, hari ini. Foto Adele Rissa

Projek berkenaan merangkumi pelbagai kategori kediaman, selain dilengkapi kemudahan sokongan seperti surau, tadika, taman asuhan kanak-kanak, rumah sampah dan rumah pam.

Pelaksanaan projek itu diselia oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia menerusi kaedah reka dan bina, dengan Faltech Engineering Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama.

Kerja pembinaan bermula pada 9 Mei 2023 dan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perumahan anggota tentera di kem berkenaan.

Nanta berkata, tanggungjawab terhadap projek itu tidak berakhir selepas penyerahan kerana kontraktor masih perlu melaksanakan kerja pembaikan sekiranya terdapat kecacatan yang dikenal pasti sepanjang tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun.

Beliau turut menegaskan bahawa JKR perlu memantau setiap aduan berkaitan kecacatan kerja dan memastikan pembaikan dilaksanakan dengan segera serta sempurna mengikut syarat kontrak.

Oleh Adele Rissa