SARIKEI, 16 November: Seorang lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan pada bahu kanan, kedua-dua telinga dan hidung selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan lori di simpang Jalan Repok, berhampiran Jalan Punai pada pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pada 7.45 pagi sebelum sepasukan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei digerakkan untuk memberikan bantuan.

“Setibanya di lokasi, pasukan APM Sarikei terus memberikan rawatan awal dan mendapati mangsa berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahu kanan, kedua-dua telinga dan bahagian hidung sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pasukan APM menyelesaikan tugasan di lokasi pada 8.05 pagi sebelum bergerak membawa mangsa ke hospital.
“Mangsa tiba di hospital pada 8.15 pagi dan ditempatkan di Zon Kuning bagi membolehkan pemeriksaan dan rawatan lanjut diberikan oleh petugas perubatan,” katanya.
Oleh Earl Anek





