Job­Sarawak perlu dimanfaatkan sepenuhnya pencari kerja dan majikan

Facebook
WhatsApp
UNTUK KENANGAN... Datuk Gerawat Gala merakamkan gambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Program ILMU Connect Siri 2026 di Miri hari ini.

MIRI, 16 November: Pencari kerja dan majikan di Sarawak digesa memanfaatkan sepenuhnya portal JobSarawak sebagai platform rasmi bagi memudahkan urusan pencarian serta penawaran pekerjaan di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, penggunaan platform digital itu mampu menghubungkan pencari kerja dengan majikan secara lebih mudah, cekap dan tersusun.

Beliau berkata, majikan dan pihak industri juga digalakkan menggunakan portal berkenaan untuk mengiklankan kekosongan jawatan serta mendapatkan calon yang bersesuaian dengan keperluan organisasi masing-masing.

Katanya, kemudahan digital yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya memberikan impak positif kepada masyarakat.

“Portal JobSarawak merupakan jambatan penting yang menghubungkan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan melalui sistem digital yang lebih mudah diakses dan cekap,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Program ILMU Connect Siri 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gerawat menegaskan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor industri dan institusi pendidikan amat penting dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran, kompetitif serta bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan asas dan kemudahan, manakala pihak industri mengenal pasti keperluan tenaga kerja serta institusi pendidikan memainkan peranan melahirkan pekerja berkemahiran.

Selain peluang pekerjaan, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan kesedaran keselamatan siber, terutama berkaitan penipuan pekerjaan dalam talian, penyalahgunaan maklumat peribadi dan ancaman siber.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penglibatan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bersama rakan strategik swasta untuk memberikan pendedahan mengenai keselamatan siber kepada masyarakat.

Beliau berharap kerjasama antara semua pihak dapat diperkukuh bagi memastikan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Oleh Liong Chai Ling