Sekolah pedalaman Julau masih berdepan masalah infrastruktur, capaian internet

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien bergambar bersama warga SK Nanga Wak. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU, 16 November: Masalah bangunan sekolah usang, ketiadaan kemudahan Wi-Fi dan bekalan elektrik tidak stabil masih menjadi antara cabaran pendidikan di kawasan pedalaman Julau yang memerlukan perhatian berterusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, masih terdapat beberapa sekolah di kawasan tersebut yang memerlukan penambahbaikan kemudahan asas bagi memastikan murid dan guru menikmati persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

Katanya, isu infrastruktur pendidikan luar bandar tidak seharusnya tertumpu kepada keadaan fizikal bangunan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kemudahan komunikasi dan bekalan tenaga yang penting untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Masih terdapat beberapa sekolah di kawasan Julau yang memerlukan perhatian, terutamanya sekolah usang dan sekolah yang tidak mempunyai kemudahan rangkaian komunikasi seperti Wi-Fi.

“Isu bekalan elektrik yang tidak stabil di beberapa kawasan juga memerlukan perhatian dan pengaturan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kemudahan pendidikan asas dapat dirasai sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sekolah Angkat MADANI di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Wak kelmarin.

Sementara itu, katanya, pemilihan SK Nanga Wak sebagai Sekolah Angkat MADANI mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, sekolah tersebut merupakan antara 11 sekolah di Sarawak yang terpilih menyertai program tersebut daripada keseluruhan 1,266 sekolah di negeri ini.

“Setiap sekolah yang dipilih menerima peruntukan RM100,000 bagi melaksanakan kerja penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur mengikut keperluan masing-masing.

“Bagi SK Nanga Wak, peruntukan tersebut telah dimanfaatkan untuk membaiki bilik darjah, menggantikan peralatan rosak dan membeli televisyen pintar bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

“Penambahbaikan itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada murid, malah membantu guru melaksanakan aktiviti pembelajaran dengan kemudahan yang lebih sesuai,” katanya.

Bagaimanapun, Larry menegaskan bahawa usaha menaik taraf sebuah sekolah tidak seharusnya menjadi penamat kepada perhatian kerajaan terhadap keperluan pendidikan luar bandar.

Sebaliknya, beliau berharap pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI di SK Nanga Wak menjadi titik permulaan kepada usaha lebih menyeluruh untuk mengenal pasti dan menangani masalah yang masih dihadapi sekolah lain di kawasan Julau.

Beliau turut menekankan kepentingan agensi kerajaan dan pihak berkuasa turun ke lapangan bagi meninjau sendiri keadaan sekolah serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai keperluan masyarakat setempat.

Katanya, pendekatan itu penting supaya setiap perancangan pembangunan dapat disesuaikan dengan keutamaan sekolah dan keadaan geografi kawasan pedalaman.

“Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah dan masyarakat setempat juga diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penambahbaikan infrastruktur memberikan manfaat berpanjangan,” katanya lagi.

Beliau berharap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan pendidikan luar bandar dapat diteruskan, khususnya bagi sekolah yang masih memerlukan kemudahan asas dan prasarana lebih baik.

Oleh Earl Anek