Liang Sheng juara Liga Tarian Singa Selatan Tradisional Seluruh Sarawak 2026 di Sarikei

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyerahkan piala kejohanan kepada Kelab Tarian Naga dan Singa Liang Sheng.

SARIKEI, 16 November: Kelab Tarian Naga dan Singa Liang Sheng dari Kuching muncul juara Liga Jelajah Tarian Singa Selatan Tradisional Seluruh Sarawak 2026 bagi edisi ketiga selepas mencatat markah tertinggi 9.41 dalam pertandingan yang berlangsung di Stadium Bola Keranjang Taman Susur Jambu.

Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan berkenaan mengatasi 18 pasukan lain, manakala Pasukan A Tarian Naga dan Singa Persatuan Buddha Ortodoks Sarikei muncul naib juara dengan 9.31 markah, diikuti Persatuan Tarian Naga dan Singa Jing Ying, Kuching di tempat ketiga dengan 9.10 markah.

Pertandingan edisi ketiga yang melibatkan 19 pasukan dari seluruh Sarawak itu menjadi medan memperlihatkan kemahiran, ketangkasan, disiplin dan keserasian peserta dalam mempersembahkan seni tarian singa tradisional.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan peserta, malah memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan warisan kebudayaan masyarakat Cina.

DATO’ Sri Huang Tiong Sii berucap pada majlis penutupan Liga Jelajah Tarian Singa Selatan Tradisional Seluruh Sarawak 2026.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang berjaya meraih kemenangan.

“Kemahiran yang hebat, kerjasama erat serta persembahan menarik yang ditampilkan benar-benar membuka mata para penonton.

“Pada masa sama, saya ingin memberikan galakan kepada semua pasukan dan peserta. Sama ada berjaya menaiki podium kemenangan atau tidak, setiap pasukan telah memberikan usaha terbaik mereka,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutupan Liga Jelajah Tarian Singa Selatan Tradisional Seluruh Sarawak 2026 semalam.

Katanya, setiap peserta memainkan peranan penting dalam usaha memelihara seni tarian singa, sekali gus memastikan warisan kebudayaan berkenaan terus berkembang dan diwarisi generasi akan datang.

“Di sebalik setiap persembahan tarian singa, terdapat bimbingan penuh dedikasi daripada jurulatih, kepercayaan dan persefahaman antara ahli pasukan serta usaha gigih yang dicurahkan sepanjang latihan.

“Saya berbangga dengan semua peserta kerana mereka memainkan peranan penting dalam usaha memelihara dan meneruskan warisan kebudayaan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menyediakan platform kepada penduduk Sarikei untuk menyaksikan keunikan seni tarian singa secara dekat, selain berharap lebih banyak program seumpama itu dianjurkan pada masa hadapan.

Katanya, penganjuran aktiviti kebudayaan bukan sekadar menyediakan hiburan kepada masyarakat, malah membantu meningkatkan kefahaman terhadap budaya tradisional dan menarik minat golongan muda untuk menyertainya.

“Ketika peruntukan diberikan untuk membina gelanggang bola keranjang dan menyediakan kawasan berlantai simen, tujuan asalnya adalah untuk memastikan pasukan tarian singa serta golongan muda mempunyai tempat yang selamat dan sesuai untuk menjalani latihan.

“Melihat persembahan hebat yang ditampilkan hari ini, saya merasakan usaha tersebut amat berbaloi.

“Saya akan terus memberikan sokongan mengikut kemampuan bagi membantu pemeliharaan budaya dan pembangunan golongan muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan kebudayaan pelbagai kaum, termasuk menyediakan bantuan kepada komuniti di peringkat akar umbi.

Katanya, kepelbagaian budaya merupakan kekayaan bersama rakyat Sarawak yang perlu terus dihargai dan dipelihara supaya seni tradisional dapat diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Oleh Earl Anek