SARIKEI, 16 November: Tindakan pantas Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubuk Lemba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke bahagian lain sebuah rumah panjang 34 pintu di Rumah Sibar, Lubuk Lemba, Ulu Sarikei, awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku di rumah panjang dua tingkat berstruktur separuh kekal tersebut melibatkan empat bilik, iaitu bilik enam hingga sembilan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.55 pagi sebelum PBS Lubuk Lemba tiba di lokasi dan mengambil tindakan awal mengawal kebakaran.
Katanya, tindakan segera PBS Lubuk Lemba memainkan peranan penting dalam mengelakkan api merebak sementara menunggu ketibaan 14 anggota bomba dari BBP Sarikei dan BBP Bintangor.
“Setibanya di lokasi kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Unjah Janggau melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang dua tingkat, 34 pintu jenis struktur separuh kekal.
“Kebakaran berlaku di bilik enam, tujuh, lapan dan sembilan, namun berjaya dikawal daripada terus merebak dengan bantuan PBS Lubuk Lemba sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) Sarikei dan Bintangor tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati bilik tujuh mengalami kerosakan paling teruk dengan anggaran kebakaran 60 peratus, melibatkan bahagian dapur dan ruang makan.
“Bilik lapan pula terbakar 30 peratus membabitkan bahagian dapur, manakala bilik enam mengalami kerosakan 10 peratus pada kerangka atap.

“Sementara itu, bilik sembilan mengalami kerosakan paling minimum, iaitu lima peratus yang turut melibatkan kerangka atap,” katanya.
Katanya, setiap bilik rumah panjang tersebut mempunyai ukuran kira-kira 18 kaki lebar dan 60 kaki panjang.
“Setelah PKO Sarikei dan Bintangor tiba di lokasi, kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran diteruskan sehingga kebakaran dan bara api padam sepenuhnya.
“Kebakaran tidak melibatkan mangsa,” katanya.
Tambahnya, operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan dua unit alat pemadam api dan satu aliran hos sepanjang 500 kaki dengan satu nozel yang mendapatkan bekalan air daripada pili bomba berhampiran.
“Tekanan air yang kuat membolehkan operasi pemadaman dijalankan tanpa menggunakan pam.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 3.30 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.00 pagi,,” katanya.
Turut berada di lokasi ialah empat anggota polis.
Oleh Earl Anek





