KABONG, 14 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin mengadakan kunjungan ke Kampung Wawasan Kabong bagi menyantuni seorang penduduk yang menghidap kanser tiroid tahap empat.
Kunjungan itu bertujuan menziarahi Taim Amat, 68, yang kini berdepan ujian kesihatan selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan.
Chee Kadir berkata, kunjungan itu merupakan tanda keprihatinan serta sokongan moral kepada Taim dan keluarganya yang sedang melalui detik sukar.
Menurutnya, kehadiran mereka diharap dapat memberikan semangat dan ketabahan kepada Taim untuk terus menjalani rawatan serta menghadapi ujian kesihatan yang dialaminya.
Taim difahamkan telah menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya sejak 2003.
Beliau turut mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak dari 9 hingga 11 November lalu.
Kunjungan itu bukan sahaja bertujuan menyampaikan sokongan moral, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat yang berdepan kesukaran.
“Diharapkan Taim terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini, selain segala urusan rawatannya dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan.
“Semoga sokongan dan doa daripada semua pihak menjadi sumber kekuatan buat Taim serta seluruh ahli keluarganya untuk terus tabah mengharungi dugaan ini,” katanya.
Oleh Adi Safarman




