Jalinan Komuniti NADI perkukuh hubungan bersama penduduk serta agensi

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN..bersama warga NADI dan komuniti setempat dalam penganjuran Mini Program Jalinan Komuniti NADI 2026 yang berlangsung di NADI Kampung Assyakirin, hari ini.

BINTULU,  15 November: Usaha memperkukuh hubungan antara komuniti setempat dengan agensi kerajaan dan swasta menjadi antara fokus penganjuran Mini Program Jalinan Komuniti NADI 2026 di NADI Kampung Assyakirin, hari ini.

Program berkenaan bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), komuniti setempat serta agensi kerajaan dan swasta menerusi perkongsian maklumat, pameran dan pelbagai aktiviti interaktif.

Pengurus NADI Kampung Assyakirin, Eleona Devong Adi berkata, penganjuran program itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pelaksanaan program sedia ada dan inisiatif baharu.

ELEONA Devong Adi sedang menyampaikan taklimat mengenai peranan dan perkhidmatan NADI kepada komuniti sempena Mini Program Jalinan Komuniti NADI 2026.

Antara agensi yang mengambil bahagian ialah CIMB Bank, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi penyediaan reruai bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

Program itu turut menyediakan reruai jualan usahawan tempatan sebagai platform mengetengahkan produk dan perniagaan komuniti setempat.

BERSAMA wakil agensi-agensi yang terlibat dalam penganjuran Mini Program Jalinan Komuniti NADI 2026 yang berlangsung di NADI Kampung Assyakirin, hari ini.

Menurut Eleona, pelbagai aktiviti turut disediakan bagi menarik penyertaan komuniti, termasuk kuiz Kempen Internet Selamat serta beberapa pertandingan seperti musang berjanggut, pertandingan mengutip objek menggunakan penyepit, cabaran kreativiti STEM dan pertandingan mewarna.

Selain itu, saringan kesihatan juga turut disediakan bagi memberi peluang kepada penduduk yang hadir mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

PIHAK pengurusan NADI bersama para usahawan NADI yang mengambil bahagian dalam memeriahkan Mini Program Jalinan Komuniti NADI 2026.

“Setakat hari ini, seramai 100 peserta daripada komuniti setempat mengambil bahagian dan saya melihat sambutan yang diberikan amat menggalakkan,” katanya.

Kepelbagaian aktiviti yang disediakan bukan sahaja memberi ruang kepada penduduk untuk beriadah, malah turut meningkatkan pengetahuan menerusi aktiviti pendidikan dan kesedaran kesihatan.

NADI akan terus mempergiat usaha mendekati komuniti melalui pelbagai aktiviti dan program yang bersesuaian, selain memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan maklumat dan mengenali perkhidmatan yang ditawarkan.

Oleh Faizah Muzidi