BERLIN, 15 November: Gangguan perkhidmatan Microsoft dikenal pasti sebagai punca kejadian keracunan klorin yang menjejaskan 15 individu di sebuah kolam renang di taman hiburan di bandar Bruehl, barat Jerman, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik penyiar WDR.
Pada Sabtu, akhbar Bild melaporkan bahawa beberapa individu yang terjejas terpaksa dimasukkan ke hospital.
Menurut WDR, gangguan perkhidmatan Outlook menyebabkan e-mel tidak dapat diterima, sekali gus mengakibatkan amaran yang dihantar oleh sistem pemantauan mengenai kepekatan klorin yang melebihi paras selamat tidak disedari.
Penyiar itu turut melaporkan bahawa sistem penyukat bahan kimia yang beroperasi secara automatik telah melepaskan klorin secara berlebihan ke dalam kolam renang berkenaan.
Menurut WDR, air kolam renang itu telah diganti susulan kejadian berkenaan dan kemudahan itu kini dibuka semula kepada pengunjung. – Bernama





