JULAU, 15 November: Ancaman penipuan dalam talian tidak mengenal kedudukan atau latar belakang seseorang apabila Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, mengakui pernah menjadi mangsa jenayah tersebut.
Menurutnya, pengalaman itu membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh terdedah kepada taktik sindiket penipuan, termasuk golongan berpendapatan rendah yang mungkin mengalami kesan kewangan lebih berat sekiranya kehilangan wang simpanan.
Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan ancaman jenayah siber, khususnya ketika penjenayah semakin aktif menggunakan pelbagai platform komunikasi untuk memperdaya mangsa.
“Penipuan dalam talian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Saya sendiri pernah menjadi mangsa, jadi orang ramai tidak seharusnya beranggapan bahawa perkara ini hanya berlaku kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Rakyat di Rumah Thomas, Nanga Sekedang, Sengaih, baru-baru ini.
Larry berkata, isu penipuan dalam talian pernah dibangkitkannya di Parlimen berikutan kebimbangan terhadap jumlah kerugian yang ditanggung masyarakat, termasuk di Sarawak.
Berdasarkan maklum balas yang diterimanya, kerugian akibat penipuan dalam talian di Sarawak telah mencecah ratusan juta ringgit sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan betapa seriusnya ancaman jenayah siber yang bukan sahaja menjejaskan kewangan mangsa, malah turut memberikan kesan kepada kesejahteraan keluarga.
Beliau berkata, sindiket penipuan menggunakan pelbagai kaedah untuk mendekati mangsa, termasuk melalui panggilan telefon, aplikasi WhatsApp dan platform media sosial seperti Facebook.
Melalui saluran tersebut, penjenayah berusaha mendapatkan kepercayaan mangsa sebelum memperdaya mereka untuk menyerahkan maklumat peribadi atau kewangan.
Sehubungan itu, Larry mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan atau mesej daripada individu tidak dikenali, terutama jika melibatkan permintaan maklumat sulit dan urusan kewangan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membalas mesej mencurigakan atau menekan pautan yang tidak diketahui sumbernya.
Langkah tersebut penting bagi mengurangkan risiko maklumat peribadi disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Orang ramai juga harus menghubungi bank masing-masing sekiranya menerima maklumat mengenai transaksi atau permintaan maklumat kewangan yang mencurigakan.
“Peningkatan kesedaran masyarakat mengenai modus operandi penipuan dalam talian merupakan antara langkah penting untuk mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sikap berwaspada dan amalan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum melakukan sebarang transaksi perlu diterapkan dalam penggunaan perkhidmatan digital.
Dalam perkembangan lain, Larry turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Suri Rumah Thomas, Nanga Sekedang.
Oleh Earl Anek




