SPAOH, 15 November: Keprihatinan terhadap nasib penduduk yang ditimpa musibah ditunjukkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, apabila beliau sanggup berpatah balik dari Lachau ketika dalam perjalanan ke Kuching bagi menziarahi mangsa kebakaran di Rumah Anyie, Matop Paku, di sini, semalam.
Uggah yang diiringi Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, meluangkan masa bertemu penduduk terjejas bagi menyampaikan sokongan moral serta menunjukkan solidariti kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat kejadian itu.
Kunjungan tersebut mencerminkan keprihatinan kepimpinan negeri terhadap kesusahan rakyat, khususnya penduduk luar bandar yang berdepan detik sukar selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kira-kira 90 peratus struktur sebuah rumah panjang tidak kekal yang mempunyai 28 pintu di Rumah Matop, Paku, musnah dalam kebakaran petang semalam.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 5.14 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, dengan bantuan BBP Saratok, dikejarkan ke lokasi.
Rumah panjang berkenaan berukuran kira-kira 328 kaki panjang dan 164 kaki lebar, dengan tahap kemusnahan dianggarkan mencapai 90 peratus.
Struktur binaan tidak kekal serta keadaan cuaca berangin dipercayai menyebabkan api merebak dengan pantas, sekali gus menyukarkan usaha pasukan bomba mengawal dan memadam kebakaran.
Operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul diteruskan sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 9.35 malam.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Kehadiran Uggah dan Richard Rapu di lokasi kejadian diharap dapat memberikan suntikan semangat kepada penduduk terjejas untuk menghadapi ujian berat itu, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat ketika berdepan musibah.
Oleh Adi Safarman



