Lapan tahun berkhidmat, Joshua Ting sedia tawar diri di Bawang Assan

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting merakam kenangan bersama penduduk Rumah Milli Nelson, hari ini.

SIBU, 15 November: Penglibatan selama lapan tahun dalam khidmat masyarakat dan kegiatan politik di Bawang Assan mendorong Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting, menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, kesediaan itu turut didorong oleh keinginannya untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan sekiranya diberi peluang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya bersedia sekiranya dicalonkan. Saya bersedia melakukan pengorbanan dan berkhidmat untuk rakyat N.53 Bawang Assan,” katanya ketika berucap pada majlis bersama komuniti Bukit Besai di Rumah Milli Nelson, di sini, hari ini.

Joshua berkata, sepanjang lapan tahun penglibatannya di Bawang Assan, beliau pernah berkhidmat sebagai ahli majlis Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) selama lima tahun sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak tiga tahun lalu.

Menyifatkan Bawang Assan sebagai kampung halamannya, beliau berkata tempoh tersebut membolehkannya menjalin hubungan rapat dengan penduduk, selain memahami isu yang dihadapi masyarakat setempat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kesediaannya untuk bertanding tertakluk kepada keputusan kepimpinan GPS, dengan keputusan akhir pemilihan calon terletak di tangan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Joshua menyeru semua penyokong GPS supaya terus bersatu dan memberikan sokongan kepada calon yang dipilih bagi memastikan sokongan terhadap gabungan itu di Bawang Assan terus dipertahankan.

Beliau turut menyentuh usaha kerajaan Sarawak menangani masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk menerusi projek loji rawatan air di Sungai Satik dan Rantau Panjang.

Selain itu, beliau mengetengahkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar Sarawak yang layak di institusi terpilih, sekali gus mengurangkan beban kewangan keluarga.

Joshua turut menyentuh Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang menyaksikan kerajaan negeri menyalurkan kira-kira RM1 bilion bantuan kepada rakyat. Beliau kemudian menyeru penduduk supaya keluar mengundi pada 12 Disember ini dan terus memberikan sokongan kepada GPS.

Oleh Tarani Lanting