SPAOH, 15 November: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk Rumah Panjang Matop, Paku, Spaoh yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan struktur kediaman berkenaan semalam.
Bantuan Keperluan Mangsa (KMP) disalurkan menerusi operasi penghantaran yang dilaksanakan hari ini bagi membantu meringankan beban penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta memerlukan keperluan asas susulan kejadian itu.
Menurut APM Daerah Betong, operasi berkenaan melibatkan seorang pegawai dan dua anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), diketuai Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA) Alice Ambrose bersama Sarjan (PA) Mohammad Dzulnizam Mohd Faisal dan Lans Koperal (PA) Hilton Ane.
Kebakaran berkenaan dilaporkan menjejaskan sebanyak 28 pintu rumah panjang dengan jumlah keseluruhan 66 mangsa, manakala hampir 90 peratus struktur bangunan musnah dalam kejadian tersebut.
Walaupun berdepan kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan harta benda, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Sementara itu, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka kerana kesemua mangsa ditempatkan buat sementara waktu di kediaman saudara-mara masing-masing.
Punca kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
APM Daerah Betong akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan bencana, termasuk menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan kepada masyarakat yang ditimpa musibah.
Penyaluran bantuan tersebut diharap dapat sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan asas mangsa sementara mereka menghadapi tempoh sukar susulan tragedi berkenaan.
Oleh Adi Safarman




