PETRA JAYA, 15 November: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membabitkan 26 cawangan di Zon Selatan sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, seluruh kekuatan parti di peringkat akar umbi sudah dihimpunkan dan hanya menunggu arahan untuk menggerakkan jentera bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Kesiapsiagaan ini mencerminkan komitmen ahli parti untuk memastikan kemenangan besar semua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya PBB.

“Segala kekuatan sudah kita himpunkan, perahu sudah diadang, pengayuh sudah di tangan.
“Ini tunggu pelepasan Yang Amat Berhormat Yang Dipertua kita lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ahli PBB Zon Selatan turut berikrar untuk terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Abang Johari serta bekerja keras memastikan semua calon GPS memenangi PRN-13.
“Persiapan ini bukan hanya melibatkan golongan lelaki, malah jentera Wanita dan Pemuda dan Belia perlu bergerak bersama-sama bagi memperkukuh kekuatan parti.
“Saya turut menyeru seluruh jentera supaya tidak berasa selesa, sebaliknya terus bekerja dan turun padang untuk mendapatkan sokongan rakyat.
“Saya yakin, insya-Allah, dengan semangat kita semua, kita akan mampu menang, tetapi kita kena ingat jangan rasa selesa,” katanya.
Oleh Masrin Affirah



