Aina anggap Eurovision Asia antara perjalanan terbaik dalam kerjaya

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Aina menyifatkan penyertaannya dalam Eurovision Asia Song Contest 2026 sebagai antara perjalanan terbaik dalam kerjaya seninya, meskipun tidak berjaya membawa pulang gelaran juara pada pertandingan itu malam tadi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 November: Penyanyi Aina menyifatkan penyertaannya dalam Eurovision Asia Song Contest 2026 sebagai antara perjalanan terbaik dalam kerjaya seninya, meskipun tidak berjaya membawa pulang gelaran juara pada pertandingan itu malam tadi.

Menerusi video yang dikongsikan di Instagramnya selepas pertandingan, Aina berkata beliau telah memberikan yang terbaik bersama-sama dengan pasukan yang bekerja keras sepanjang perjalanan tersebut.

Sedar akan kemungkinan ada peminat yang meletakkan harapan tinggi padanya, penyanyi itu turut memohon maaf sekiranya keputusan itu mengecewakan mereka.

“Alhamdulillah, saya yakin we already did our best. I did my best already. Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong saya.

“Yang mungkin meletakkan harapan tinggi kepada saya, I’m sorry if I disappoint you guys,” katanya.

Pada masa sama, Aina berkata penyertaannya dalam pertandingan itu memberikan banyak pengajaran kepadanya memandangkan perjalanan tersebut adalah sesuatu yang perlu ditempuhi sendiri tanpa sebarang panduan terdahulu.

Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan pasukan yang hebat, selain menyifatkan kejayaan sebenar bukan diukur semata-mata menerusi kemenangan.

“Walaupun kita tak menang, we already won our own hearts. Ya, itu yang paling penting,” katanya.

Tidak menyembunyikan emosi ketika menyampaikan ucapan berkenaan, Aina menjelaskan air mata yang bergenang bukan bermakna beliau tewas dengan keadaan, sebaliknya sekadar reaksi selepas melalui pertandingan yang cukup bermakna.

Aina turut merakamkan penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan dan berharap dapat bertemu peminat menerusi projek seni, album serta konsert akan datang. 

Aina meraih tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand, malam tadi, berentap dengan wakil daripada 10 negara lain, iaitu Vietnam, Kemboja, Laos, Mongolia, Bhutan, Filipina, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Nepal.

Mempertaruhkan lagu ciptaannya sendiri Bluest Sky dengan susunan muzik sentuhan Mac Chew, lagu bergenre power ballad itu cukup istimewa kerana diinspirasikan daripada kucing kesayangannya, Hiro.

Walaupun tidak bergelar juara dalam pertandingan yang menggabungkan pemarkahan juri profesional dan undian peminat, persembahan bertenaga penyanyi tersebut tetap mendapat pujian netizen di media sosial.

“Aina paling sedap suaranya malam tadi,” tulis Nad Zainal di ruangan komen.

Netizen turut memberi kata-kata semangat kepada penyanyi berusia 33 tahun itu selain meluahkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut.

“Selalu jadi kebanggaan dan pemenang di hati kami Aina,” tulis lisha_guswari. – Bernama