KUCHING, 15 November: Yayasan Pengakap Sarawak terus memperkukuh peranannya dalam membentuk generasi muda berjiwa kepimpinan, berdisiplin dan bertanggungjawab sempena sambutan Jubli Perak yayasan itu yang genap 25 tahun penubuhannya.
Sambutan menerusi Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak di Hotel Raia, di sini, malam tadi, turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi yang juga Penaung Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak menerima Anugerah Pengakap Berkualiti (Quality Scout Awards) yang disampaikan Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom.
Toh Puan turut berkenan menyematkan anugerah berkenaan pada lapel kot Tun Wan Junaidi.
Beliau turut menyampaikan Sijil Pengakap Raja (King’s Scout Award) kepada para penerima serta melancarkan Anugerah Pengakap Berkualiti.
Tun Wan Junaidi turut menyempurnakan gimik perasmian sambutan dengan menyalakan unggun api sebagai simbolik semangat kepengakapan.
Dalam pada itu, beliau dan Toh Puan merakamkan penghargaan serta ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan, ahli dan warga Yayasan Pengakap Sarawak atas komitmen serta sumbangan sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Mereka berharap yayasan itu terus melahirkan generasi muda yang berintegriti, berdaya tahan, mempunyai nilai kepimpinan serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat, negeri dan negara.
Terdahulu, keberangkatan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan yang turut diiringi anakanda, Sharifah Fariah, disambut William; Pengerusi Yayasan Pengakap Sarawak, Arthur Lee Cheng Chuan; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, John Lim Boon Beng serta Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis, Kolonel Juma’at Ibrahim.
Pasangan kenamaan itu turut berkenan melawat pameran sejarah penubuhan dan perkembangan Yayasan Pengakap Sarawak sebelum menyaksikan tayangan montaj khas sempena ulang tahun ke-25 yayasan berkenaan.




