MELAKA, 14 November: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mencalonkan Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka baharu selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 malam ini.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata watikah pelantikan Ab Rauf, yang juga penyandang Ketua Menteri akan diutuskan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, malam ini.
Ahmad Zahid memaklumkan perkara berkenaan selepas mengumumkan kemenangan majoriti dua pertiga yang diraih gabungan itu pada PRN Melaka, di Melaka International Trade Centre (MITC) di Ayer Keroh, di sini malam ini.
Mengikut keputusan tidak rasmi setakat 9.20 malam ini, gabungan BN dan PN menang di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Baki empat kerusi lagi dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua rakyat Melaka atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada gabungan BN dan PN.
“Syukur kami diberi mandat, kini kita bawa amanah besar untuk tunaikan setiap aku janji, setiap manifesto serta pastinya memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat Melaka.
“Kini juga tiba masanya untuk kita melupakan sebarang kisah lalu, satukan hati seluruh rakyat Melaka tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerja keras dan komited dalam memastikan kelancaran PRN Melaka ke-16.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat 9.30 malam ini, Ab Rauf yang juga penyandang DUN Tanjung Bidara mempertahankan kerusi berkenaan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/. – Bernama




