DEBAK, 14 November: Setiap pencapaian kanak-kanak dalam pendidikan awal wajar diraikan kerana kejayaan kecil yang dicapai hari ini merupakan asas kepada pembentukan masa depan yang lebih baik.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, majlis apresiasi bukan sekadar acara penyampaian sijil dan anugerah, sebaliknya menjadi platform mengiktiraf usaha, perkembangan serta pencapaian anak-anak sepanjang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau berkata, setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan, kebolehan dan potensi tersendiri yang perlu dikenal pasti serta digilap melalui pendekatan pendidikan yang bersesuaian.
“Setiap anak mempunyai keistimewaan, kebolehan dan potensi yang tersendiri. Ada yang menonjol dalam akademik, ada yang berbakat dalam bidang kreativiti, ada yang menunjukkan kemajuan dalam komunikasi dan ada juga yang memperlihatkan nilai murni serta sahsiah yang terpuji.
“Justeru, setiap pencapaian anak-anak wajar diraikan kerana kejayaan kecil pada hari ini merupakan langkah awal menuju kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kanak-Kanak TASKA dan TABIKA KEMAS 2026 di Dataran Perpaduan Debak, semalam.
Menurutnya, majlis berkenaan turut meraikan dua fasa penting dalam perjalanan pendidikan kanak-kanak, iaitu peralihan anak-anak TASKA ke TABIKA dan anak-anak TABIKA ke Tahun Satu.
Katanya, peralihan daripada TASKA ke TABIKA membuka peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka pengalaman pembelajaran lebih luas, membina keyakinan diri serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan interaksi sosial.
Manakala, anak-anak TABIKA yang bakal memasuki Tahun Satu pula perlu bersedia menghadapi alam persekolahan yang menawarkan pelbagai pengalaman, cabaran dan peluang baharu untuk menimba ilmu.
“Saya berharap anak-anak semua akan terus rajin belajar, mendengar nasihat guru dan ibu bapa, menghormati orang lain serta sentiasa berani mencuba perkara baharu.
“Ingatlah, perjalanan menuju kejayaan bermula dengan langkah pertama. Teruskan melangkah dengan penuh keyakinan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Razi turut memberikan perhatian terhadap penyampaian Anugerah Kanak-Kanak Terbaik Tahfiz yang disifatkan sebagai penghargaan terhadap usaha, kesungguhan dan komitmen kanak-kanak dalam mempelajari serta menghayati ilmu agama.
Menurutnya, pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan anak-anak dan keluarga, malah membuktikan pendidikan awal berupaya memupuk minat terhadap ilmu, membentuk disiplin diri serta menyemai nilai-nilai murni sejak usia kecil.
Dr Mohammad Razi turut merakamkan penghargaan kepada semua pendidik masyarakat TASKA dan TABIKA KEMAS atas komitmen mereka dalam mendidik serta membentuk keperibadian generasi muda.
“Pendidik bukan sekadar mengajar mengenal huruf, nombor dan membaca, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian, keyakinan dan asas kehidupan seseorang anak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan, kasih sayang dan kerjasama ibu bapa amat penting bagi memastikan perkembangan kanak-kanak berjalan dengan baik.
Katanya, pendidikan awal kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama antara pendidik dan ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berilmu, berkeyakinan serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.
Sehubungan itu, Dr Mohammad Razi berharap KEMAS akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, inklusif dan memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Majlis tersebut menyaksikan penghargaan diberikan kepada kanak-kanak TASKA dan TABIKA KEMAS atas pencapaian serta perkembangan mereka sepanjang mengikuti pendidikan awal.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Jeffry Lana; Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Debak, Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim serta Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak Pejabat KEMAS Bahagian Betong, Nurhuzaizah Mostapha.
Oleh Adi Safarman




