UTS berpotensi jadi pusat penyelidikan perubatan integratif

Facebook
WhatsApp
PENERANGAN...Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari ketika diberi penerangan tentang penggunaan teknologi AI dalam pendidikan selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTS Kali ke-11, hari ini.

SIBU, 14 November: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berpotensi membangunkan pusat penyelidikan perubatan integratif yang menggabungkan kepakaran perubatan Timur dan Barat dengan memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sarawak serta teknologi kecerdasan buatan (AI).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan fakulti perubatan di UTS membuka peluang kepada universiti itu untuk meneroka bidang perubatan integratif yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada rawatan penyakit, malah menekankan aspek pencegahan serta kesejahteraan kesihatan individu secara menyeluruh.

“Ini merupakan satu cabang baharu dalam bidang sains perubatan yang menjurus kepada kesejahteraan kesihatan atau wellness, selaras dengan konsep salutogenesis yang menekankan kesihatan individu secara menyeluruh sebelum penyakit berlaku.

“Kita mempunyai biodiversiti yang boleh menjadi asas kepada penyelidikan untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai penyakit, termasuk kemungkinan penyakit baharu pada masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTS Kali Ke-11 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, UTS boleh mempertimbangkan penglibatan pakar perubatan Timur sebagai tenaga pengajar dan penyelidik bagi melengkapkan kepakaran perubatan Barat dalam membangunkan bidang pengajian berkenaan.

Katanya, kemajuan teknologi AI generatif turut membuka ruang kepada penyelidikan lebih mendalam, termasuk analisis DNA serta pengenalpastian sebatian yang berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan rawatan penyakit.

PENERANGAN…Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari ketika diberi penerangan tentang penggunaan teknologi AI dalam pendidikan selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTS Kali ke-11, hari ini.

Selain itu, katanya, sumber semula jadi daripada biodiversiti Sarawak juga berpotensi diteroka secara saintifik bagi mengenal pasti bahan yang boleh menyumbang kepada usaha menangani penyakit serius seperti kanser.

“Yang penting ialah kemungkinan kita boleh menjalankan penyelidikan terhadap penyakit kanser. Mungkin terdapat bahan semula jadi yang berpotensi membantu mengawal perkembangan sel kanser,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan potensi berkenaan perlu dibuktikan menerusi penyelidikan saintifik bagi menentukan keberkesanan dan kesesuaiannya dalam bidang perubatan.

Abang Johari berkata, beliau turut mendapat pendedahan mengenai perkembangan perubatan integratif ketika diberi penghormatan merasmikan sebuah persidangan antarabangsa berkaitan bidang itu kira-kira tiga minggu lalu.

Menurutnya, perkembangan tersebut menunjukkan terdapat ruang luas untuk UTS meneroka bidang pengajian dan penyelidikan baharu yang menggabungkan kepakaran perubatan, teknologi moden serta sumber biodiversiti tempatan.

Sementara itu, mengulas penggunaan teknologi AI dalam pendidikan, Abang Johari berkata, konsep bilik darjah pintar berpotensi memperluas akses murid kepada pengajaran berkualiti menerusi platform digital yang boleh dikongsi antara sekolah.

Katanya, teknologi berkenaan membolehkan kepakaran guru dalam mata pelajaran tertentu dimanfaatkan secara lebih meluas, sekali gus membantu sekolah yang berdepan kekurangan tenaga pengajar dalam bidang khusus.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Pengerusi Lembaga Gabenor UTS, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Hakim Juri dan Naib Canselor UTS, Profesor Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman.

Oleh Akun Giman