108,605 hektar tanah NCR di Bahagian Betong telah diwartakan

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi kawasan Beting Maro di Dewan Komuniti Kampung Pusa telah disempurnakan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

PUSA, 14 November: Sebanyak 108,605 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh Bahagian Betong telah berjaya diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) sehingga 30 September 2026, sekali gus memperkukuh pengiktirafan dan perlindungan hak pemilikan tanah masyarakat setempat.

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan hak tanah NCR rakyat terus dipelihara melalui pelaksanaan Inisiatif Baharu NCR.

Menurutnya, keluasan tanah yang telah diwartakan itu bersamaan 268,368.8 ekar dan menjadi antara pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan hak tanah masyarakat Bumiputera di negeri ini.

Beliau berkata, bagi pengukuran Fasa 2 Inisiatif Baharu NCR di bawah Seksyen 18 KTS pula, sebanyak 6,529 lot individu melibatkan keluasan 8,525.5 hektar atau 21,067 ekar telah berjaya dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di seluruh Bahagian Betong.

“Majlis ini adalah majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah yang keenam pada tahun 2026 oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong dan kita amat berbesar hati kerana berpeluang mengadakannya di Dewan Komuniti Kampung Pusa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi kawasan Beting Maro di Dewan Komuniti Kampung Pusa, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Moris berkata, pada majlis itu, seramai 331 pemilik tanah menerima 471 Surat Hak Milik Tanah melibatkan keluasan keseluruhan 330.17 hektar atau 815.9 ekar.

Daripada jumlah tersebut, kawasan Sungai Bras, Beladin, Pusa melibatkan 110 surat hak milik tanah kepada 85 penerima bagi komuniti Melayu dengan keluasan 87.95 hektar.

Sementara itu, kawasan Kampung Tambak melibatkan 361 surat hak milik tanah kepada 246 penerima bagi komuniti Melayu dengan keluasan 242.2 hektar.

Menurutnya, proses pengeluaran surat hak milik tanah memerlukan perancangan teliti serta kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan penuntut tanah bagi memastikan setiap peringkat pengukuran dan pengesahan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat terhadap tanah NCR yang terbukti sahih serta diwujudkan selaras dengan peruntukan undang-undang tanah sedia ada,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam perlu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi dan tidak lagi terikat kepada rutin lama, termasuk mengatasi kelewatan perkhidmatan, kerenah birokrasi serta sikap terlalu bergantung kepada arahan.

Katanya, pendekatan 3R iaitu “Menilai Semula, Memikirkan Semula dan Memperbaharui Semangat” yang ditekankan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, perlu dijadikan panduan dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Moris berkata, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sentiasa meneliti semula dasar, prosedur serta proses kerja yang tidak lagi relevan bagi mempercepatkan urusan rakyat melalui pendekatan lebih kreatif dan inovatif.

Beliau berharap pemilik tanah yang menerima surat hak milik dapat memanfaatkan tanah masing-masing menerusi aktiviti pertanian, penternakan dan perladangan bagi meningkatkan taraf pendapatan serta ekonomi keluarga.

Dalam majlis sama, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak turut menyampaikan sumbangan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjumlah RM10,000 daripada Magna Focus Sdn. Bhd. kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Paloh.

Sumbangan itu bertujuan membantu menambah baik peralatan dan kemudahan sekolah, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta memberikan manfaat kepada warga sekolah.

Moris berkata, pelaksanaan inisiatif CSR melalui Tabung Dana Amanah CSR Jabatan Tanah dan Survei yang diwujudkan sejak 1 Januari 2021 merupakan sebahagian daripada komitmen jabatan dalam memastikan manfaat pembangunan turut dinikmati masyarakat setempat.

Beliau menegaskan, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan terus komited memperkukuh pengurusan tanah, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Oleh Adi Safarman