ASAJAYA, 14 November: Pengundi di Sarawak diingatkan supaya tidak membuat keputusan berdasarkan emosi, sentimen atau terpengaruh dengan pemberian calon bertanding, sebaliknya menilai kemampuan serta latar belakang parti politik sebelum menentukan wakil rakyat pilihan mereka.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap pengundi perlu menggunakan hak demokrasi dengan bijaksana dan bertanggungjawab kerana pilihan yang dibuat akan menentukan kepimpinan serta hala tuju Sarawak.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini, Abdul Karim berkata, penilaian terhadap latar belakang parti politik, calon yang bertanding dan keupayaan mereka perlu menjadi pertimbangan utama sebelum seseorang pengundi membuat keputusan.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Asajaya berkata, pengundi tidak seharusnya mudah dipengaruhi pendekatan atau tawaran tertentu sepanjang proses pilihan raya, sebaliknya perlu menggunakan pertimbangan rasional bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar berkeupayaan memikul amanah sebagai wakil rakyat.

“Gunakanlah hak mengundi dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan. Nilailah parti serta calon yang bertanding sebelum membuat keputusan,” katanya.
Katanya, masyarakat bakal melalui proses pemilihan wakil rakyat dan pembentukan kerajaan negeri, justeru setiap warga negara perlu memahami kepentingan melaksanakan tanggungjawab demokrasi dengan penuh kesedaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Temasya Sukan Tahunan Kali ke-37 Sekolah Kebangsaan (SK) Rebak 2026 di Padang SK Rebak, di sini, hari ini.

Rekod pilihan raya menunjukkan Abdul Karim telah mempertahankan kerusi kawasan Asajaya dalam lima pilihan raya negeri berturut-turut sejak 2001, termasuk ketika kawasan itu menggunakan kod N.12 dan N.14 sebelum menjadi N.15 selepas persempadanan semula.
Pada PRN Sarawak 2021, beliau yang bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 6,380 undi dengan majoriti 4,531 undi, menewaskan tiga pencabar lain.
Ketika itu, kawasan DUN Asajaya mempunyai 12,349 pengundi berdaftar dengan 9,296 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, bersamaan 75.3 peratus jumlah pemilih.
Oleh Afiq Sallehi



