SARIKEI, 14 November: SMK St Anthony mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.69 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus menjadi pencapaian terbaik sekolah tersebut setakat ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kesungguhan seluruh warga sekolah dalam meningkatkan prestasi akademik secara berterusan.
Katanya, kejayaan tersebut bukan hanya hasil usaha pelajar, malah turut didorong komitmen pentadbir, guru dan ibu bapa yang memainkan peranan penting sepanjang proses pendidikan.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh warga pendidik atas pencapaian SPM yang konsisten dan membanggakan dari tahun ke tahun.
“Saya amat berbangga dengan rekod baharu ini, kerana ia menjadi bukti nyata bahawa usaha keras seluruh warga sekolah, daripada pentadbir, guru, murid hinggalah ibu bapa, telah membuahkan hasil yang luar biasa,” katanya yang juga yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi SMK St Anthony, hari ini.
Katanya, pencapaian akademik tersebut wajar dijadikan dorongan kepada warga sekolah untuk meneruskan usaha meningkatkan mutu pendidikan, di samping memberikan perhatian kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran pelajar.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk memperkasakan golongan muda melalui penyediaan peluang pendidikan yang adil, termasuk memberikan perhatian terhadap kemudahan dan persekitaran pembelajaran.
“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa komited untuk memperkasakan golongan muda dan memastikan setiap anak mendapat peluang yang adil untuk belajar.
“Bagi saya, pelajar perlu cemerlang dalam semua aspek dari segi akademik, sahsiah, kemahiran dan keyakinan diri,” katanya.
Dalam usaha menyokong pendidikan di kawasan Sarikei, Huang berkata, pembangunan infrastruktur dan kemudahan sekolah turut diberikan perhatian kerana persekitaran yang selesa dapat membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran.
Beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan beg sekolah telah diberikan kepada pelajar di Sarikei pada bulan lalu sebagai sebahagian daripada usaha membantu keperluan persekolahan mereka.
Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dalam memberikan perhatian kepada pembangunan pendidikan dan peluang generasi muda.
Tambahnya, dasar pendidikan tinggi percuma bagi rakyat Sarawak serta peluasan biasiswa profesional merupakan antara pendekatan kerajaan negeri untuk membangunkan bakat tempatan.
Mengulas majlis graduasi tersebut, Huang berkata, kejayaan menamatkan persekolahan merupakan satu pencapaian bermakna kepada pelajar sebelum melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.
Beliau mengingatkan para graduan supaya memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di sekolah serta terus berusaha meningkatkan kemampuan diri.
“Kepada para graduan, tahniah saya ucapkan atas kejayaan menamatkan perjalanan di SMK St Anthony.
“Gunakanlah peluang yang ada dengan sebaik-baiknya, teruskan bekerja keras dan jangan berhenti belajar.
“Saya percaya anak-anak Sarikei mampu bersinar di mana sahaja mereka berada, dan sekali gus membanggakan Sarawak,” katanya.
Huang turut merakamkan penghargaan kepada guru, ibu bapa dan penjaga atas pengorbanan serta sokongan mereka dalam memastikan pelajar dapat mengikuti pendidikan dengan baik.
Beliau berharap graduan SMK St Anthony akan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi, sekali gus memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan pembangunan Sarawak.
Oleh Earl Anek





