Malaysia dijangka terima kesemua 18 jet pejuang FA-50M menjelang Mac 2028

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (lima, kiri) bergambar selepas menyaksikan ketibaan pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan yang singgah transit di Pangkalan Udara Labuan baru-baru ini. Foto BERNAMA

KOTA TINGGI, 14 November: Malaysia dijangka menerima keseluruhan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M dari Korea Selatan menjelang Mac 2028 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dua pesawat telah diterima setakat ini, manakala empat lagi dijadual tiba pada April tahun depan sebelum berlangsungnya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.

Beliau berkata baki 12 pesawat dijangka diterima pada Mac 2028, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 18 pesawat yang diperoleh kerajaan.

“Kesemua pesawat akan berpangkalan di Kuantan, Pahang manakala penempatan seterusnya akan dipertimbangkan selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Panchor di sini hari ini.

Terdahulu, Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI) pada 2023 dengan nilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Pesawat berkenaan akan menggantikan armada Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang semakin berusia, selain berfungsi sebagai pesawat latihan lanjutan juruterbang pejuang dan melaksanakan misi tempur ringan. – Bernama