PRN Melaka: Warga emas tidak lena tidur teruja mahu raikan pesta demokrasi

Facebook
WhatsApp
PASANGAN warga emas Lew Chee Phin, 66, dan Tan Siw Choo, 62, hadir seawal 7 pagi di SK Jeram, Masjid Tanah, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN Melaka ke-16 hari ini. Foto BERNAMA

ALOR GAJAH, 14 November: Teruja untuk menyertai proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini, pasangan suami isteri Lew Chee Phin, 66, dan Tan Siw Choo, 62, sanggup hadir seawal 7.001 pagi ke pusat mengundi, biarpun proses pengundian hanya bermula pada 8.00 pagi.

Ditemui di luar pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jeram di Masjid Tanah di sini, Lew berkata dia dan isteri bangun seawal 5.00 pagi untuk melakukan persiapan keluar mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

“Dari malam tadi pun tidak lena tidur kerana teruja untuk mengundi, kami sangat seronok kerana ketiga-tiga anak kami juga pulang untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya.

Lew berkata sudah menjadi rutinnya dan isteri, yang telah mengundi pada lapan siri PRN, untuk sentiasa hadir awal ke pusat pengundian.

“Kami berniaga kedai runcit di Masjid Tanah, kedai mesti buka pukul 9.00 pagi, jadi kami mahu selesai mengundi cepat, baru gembira dan tenang apabila buka kedai nanti,” katanya.

Pada PRN kali ini, DUN Tanjung Bidara menyaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN) yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berhadapan saingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri.

Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/. – Bernama