Lelaki maut, seorang cedera dalam kemalangan lori dan kereta di Niah

Facebook
WhatsApp
MAUT...Lori dan sebuah kereta bertembung dalam kemalangan di Jalan Bintulu-Miri berhampiran Niah, awal pagi tadi, mengakibatkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera. Foto JBPM Sarawak

MIRI, 13 November: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bintulu-Miri berhampiran Niah, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut berusia 32 tahun, penumpang kereta berkenaan, manakala pemandunya, berusia 27, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan jari tangan.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.48 pagi.

Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi pada 5.39 pagi.

Komander operasi melaporkan kemalangan itu membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta dengan seorang mangsa lelaki dewasa ditemukan tersepit serta tidak sedarkan diri.

Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang dikawal pada 5.55 pagi itu ditamatkan sepenuhnya pada 6.58 pagi selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

Oleh Liong Chai Ling