14 saman dikeluarkan dalam sekatan jalan raya Op Bersepadu IPD Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
OPERASI Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan IPD Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU, 13 November: Sebanyak 14 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam sekatan jalan raya menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah serta meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang lalu lintas.

Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit itu membabitkan seramai 17 anggota polis daripada pelbagai pangkat dan cawangan.

Menurut beliau, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu pencegahan jenayah serta penguatkuasaan undang-undang lalu lintas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Sepanjang operasi dijalankan, pihak polis memeriksa sebanyak 105 kenderaan pelbagai jenis serta 120 individu bagi memastikan tiada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang berlaku.

Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 14 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

DSP Pricha menegaskan bahawa operasi bersepadu secara bersasar akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan jenayah, selain memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman