KMKK perlu fahami PCDS 2030, bantu jayakan sasaran KDNK Sarawak RM282 bilion

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert merakam kenangan bersama peserta Program Kompetensi KMKK Daerah Dalat di sebuah hotel di Sibu, hari ini.

SIBU, 13 November: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan lebih aktif di peringkat akar umbi bagi membantu kerajaan merealisasikan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak RM282 bilion.

Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert berkata, pencapaian sasaran itu bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak termasuk KMKK sebagai penggerak pembangunan masyarakat setempat.

“Apabila Premier Sarawak menyatakan sasaran KDNK sebanyak RM282 bilion, kita juga perlu memikirkan sumbangan yang boleh diberikan dan apa yang boleh kita lakukan dalam skop tanggungjawab masing-masing bagi menyokong PCDS 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Kompetensi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Dalat di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Mathew, KMKK perlu memahami hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) supaya setiap usaha yang dilaksanakan di kawasan masing-masing dapat menyokong agenda pembangunan negeri.

Katanya, terdapat tiga bidang utama yang memerlukan penglibatan aktif KMKK, iaitu pengurusan bencana, pembangunan sosial dan pembangunan infrastruktur.

Dalam aspek pembangunan sosial, KMKK berperanan membantu kerajaan mengenal pasti golongan miskin menerusi pengesahan data di peringkat kampung bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Justeru, kerjasama dan perkongsian maklumat antara pejabat daerah dengan KMKK penting bagi memastikan ketepatan data serta mengelakkan golongan yang memerlukan daripada tercicir menerima bantuan.

Bagi pembangunan infrastruktur pula, katanya, KMKK menjadi penghubung penting antara penduduk dengan agensi kerajaan, terutama apabila timbul isu yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek.

Beliau mengambil contoh projek jalan raya di Ulu Baoh yang berdepan percanggahan pandangan penduduk berhubung isu tanah, sekali gus memerlukan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei bagi menjelaskan status pemilikan tanah serta menangani salah faham.

Dalam pengurusan bencana, KMKK turut berperanan sebagai barisan hadapan membantu masyarakat ketika kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

Mathew berharap program kompetensi itu dapat membantu peserta menilai keberkesanan pelaksanaan tugas, mengenal pasti kelemahan dan merangka penambahbaikan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, selain menghasilkan perancangan praktikal untuk dilaksanakan tahun hadapan.

Oleh Tarani Lanting