KEMAS perlu terus diperkasa bagi memacu pembangunan masyarakat luar bandar – Gerawat

Facebook
WhatsApp
GIMIK…Datuk Gerawat Gala menyempurnakan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa, Jabatan Kemajuan Masyarakat di Rh Sator Lubok Nibong. Foto Jiku Juguong

MARUDI, 13 November: Peranan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu terus diperkasakan bagi memastikan masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Baram, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, KEMAS memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat dalam menyampaikan dasar, program serta inisiatif pembangunan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, peranan itu amat penting terutama di kawasan Parlimen Baram yang berdepan cabaran dari segi geografi dan keterhubungan.

“Kita mengenali KEMAS melalui pelbagai program seperti pendidikan awal kanak-kanak, Tabika dan Taska, kelas kemahiran, pendidikan komuniti serta pelbagai aktiviti pembangunan masyarakat.

“Sumbangan KEMAS bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian perkhidmatan, malah turut membantu membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan berdaya saing.

“Saya ingin melihat peranan ini terus diperkasakan, khususnya di kawasan Parlimen Baram yang mempunyai cabaran geografi dan keterhubungan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Massa Masyarakat Desa anjuran KEMAS di Rumah Sator, Kampung Memaloh, Lubok Nibong, semalam.

Gerawat yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu menegaskan bahawa masyarakat pedalaman perlu diberikan peluang yang sama untuk menikmati akses kepada pendidikan, latihan kemahiran, maklumat dan peluang ekonomi.

Katanya, golongan belia, wanita dan keluarga di luar bandar juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan

Beliau turut mahu anak-anak dari Baram mempunyai peluang dan keyakinan untuk bersaing bukan sahaja di peringkat negeri, malah pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Dalam pada itu, Gerawat berkata, pembangunan ekonomi masyarakat desa perlu diberikan penekanan memandangkan Baram mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, penternakan, pelancongan berasaskan komuniti, industri makanan tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kita mempunyai tanah, sumber semula jadi, warisan budaya, produk tempatan dan keunikan komuniti yang boleh dikembangkan menjadi sumber ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, potensi berkenaan perlu disokong dengan pengetahuan, teknologi, kemahiran pengurusan dan akses kepada pasaran bagi membolehkan masyarakat memanfaatkan sumber yang tersedia secara optimum.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk luar bandar supaya tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan, sebaliknya berani meneroka peluang ekonomi baharu yang bersesuaian dengan keupayaan dan sumber di kawasan masing-masing.

Gerawat turut berharap program berkenaan menjadi platform kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan kerajaan, latihan keusahawanan, peluang pembiayaan serta program peningkatan kemahiran.

Pada masa yang sama, beliau menggesa pemimpin masyarakat supaya terus memainkan peranan sebagai penggerak pembangunan di peringkat kampung.

Menurutnya, ketua masyarakat dan tuai rumah bukan sekadar bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kampung, malah merupakan rakan strategik kerajaan dalam mengenal pasti keperluan rakyat.

“Pemimpin masyarakat perlu memastikan setiap program dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Oleh Jiku Juguong