KUCHING, 13 November: Projek menaik taraf dan melebarkan Jalan Bau, Jalan Batu Kitang dan Jalan Stephen Yong kepada jalan empat lorong akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan jumlah kos keseluruhan dianggarkan melebihi RM1.5 bilion.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, penjelasan itu perlu dibuat susulan laporan bercanggah dalam akhbar dan berita televisyen yang menyatakan bahawa kerja-kerja pembinaan mungkin bermula pada 2027 atau 2028.
Beliau berkata, Fasa 1 yang melibatkan laluan dari Bau ke Keranji dianggarkan menelan belanja RM500 juta dan kini berada pada peringkat reka bentuk.
“Saya ingin menegaskan bahawa 2028 merupakan unjuran garis masa dan bukannya tarikh permulaan pembinaan yang telah disahkan,” katanya dinyatakan dalam satu sidang akhbar
Fasa 2 pula melibatkan laluan dari Keranji ke Jalan Stephen Yong, termasuk pembinaan sebuah jambatan tambahan dua lorong bersebelahan Jambatan Batu Kitang sedia ada. Fasa ini juga dianggarkan menelan kos RM500 juta.
Lo berkata, apabila kedua-dua fasa pertama selesai, pengguna jalan raya dari Bau melalui Keranji dan Jalan Stephen Yong menuju ke Kuching akan menikmati laluan empat lorong yang lebih selamat dan lancar.
Penambahbaikan itu dijangka meningkatkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan serta mempertingkatkan keselamatan jalan raya bagi ribuan pengguna yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Fasa 3 pula melibatkan kerja-kerja menaik taraf dan melebarkan baki laluan antara Jalan Stephen Yong dengan lampu isyarat Batu 7.
Bagaimanapun, beliau berkata, bahagian jalan tersebut menghadapi cabaran kejuruteraan dan logistik yang besar berikutan kewujudan paip utama bekalan air, kabel elektrik SESCO serta infrastruktur telekomunikasi, khususnya di sepanjang laluan antara lampu isyarat Batu 7 dengan persimpangan Jalan Stephen Yong-Bumbok.
Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja pemindahan dan perlindungan kemudahan utiliti penting itu memerlukan perancangan serta penyelarasan rapi bagi mengurangkan gangguan terhadap perkhidmatan awam dan pengguna jalan raya.
“Sehubungan itu, adalah lebih praktikal untuk melaksanakan Fasa 3 selepas Fasa 1 dan Fasa 2 selesai.
“Pada masa itu, pengguna jalan raya antara Bau dan Kuching akan mempunyai laluan alternatif yang lebih baik melalui Keranji dan Jalan Stephen Yong, sekali gus membolehkan kerja-kerja pembinaan Fasa 3 dilaksanakan dengan gangguan minimum terhadap aliran trafik,” katanya.
Lo menegaskan bahawa keseluruhan projek itu merupakan satu usaha pembangunan infrastruktur berskala besar yang memerlukan kajian kejuruteraan menyeluruh, reka bentuk terperinci, perancangan kewangan serta penyelarasan yang rapi sebelum pelaksanaannya.
Beliau berkata, koridor jalan raya dari Bau melalui Keranji dan Jalan Stephen Yong hingga ke Batu 7 merupakan laluan pengangkutan penting yang memberi manfaat kepada penduduk kawasan Batu Kitang, Serembu dan Bau serta kawasan Kuching yang lebih luas.
Beliau mengakui kekecewaan dan kesulitan yang dialami pengguna jalan raya, khususnya pada waktu puncak, dan berkata beliau turut berkongsi hasrat rakyat agar projek yang telah lama dinantikan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Saya merayu kepada penduduk N13 Batu Kitang serta semua penduduk dan pengguna jalan raya yang kerap menggunakan laluan ini supaya terus bersabar dan memahami keadaan.
“Saya amat berharap kerajaan sementara GPS akan diberi peluang untuk menyediakan peruntukan kewangan yang diperlukan dan melaksanakan projek penting ini secara berperingkat mengikut jadual yang dirancang dengan teliti dan praktikal,” katanya.
Beliau menambah bahawa keutamaan bukan sekadar memulakan projek berkenaan, tetapi memastikan ia disiapkan dengan jayanya secara bertanggungjawab, teratur dan mampan.
Lo menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan projek naik taraf jalan raya itu dapat disempurnakan.
Oleh Connie Chieng





