Pembinaan Masjid Baharu Kabong terus dipantau, disasar siap Disember ini

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir semasa melakukan lawatan di tapak pembinaan Masjid Baharu Kabong. Foto: Pusat Khidmat DUN N40 Kabong

KABONG, 12 November: Projek pembinaan Masjid Baharu Kabong disasarkan siap sepenuhnya pada Disember ini bagi memastikan masyarakat Islam di kawasan itu dapat menikmati kemudahan rumah ibadah yang lebih selesa dan kondusif.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, semua pihak yang terlibat perlu memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Kabong berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Tapak Pembinaan Masjid Baharu Kabong di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kabong, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil Majlis Islam Sarawak, Pejabat Daerah Kabong, pihak perunding serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut.

Menurut beliau, mesyuarat itu bertujuan meneliti perkembangan semasa projek, menyelaras kerja-kerja pembinaan serta membincangkan perkara berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.

Sebelum mesyuarat berlangsung, satu lawatan tapak turut diadakan bagi meninjau kemajuan fizikal projek serta melihat sendiri keadaan dan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan di lokasi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, satu mesyuarat koordinasi mengenai penyambungan bekalan air dan elektrik dijadualkan berlangsung pada 19 November ini di Majlis Daerah Saratok.

Mesyuarat itu akan melibatkan pihak konsultan dan kontraktor bagi memastikan penyediaan kemudahan utiliti dapat diselaraskan dengan baik sebelum projek disiapkan sepenuhnya.

Pembinaan Masjid Baharu Kabong merupakan usaha menyediakan prasarana ibadah yang lebih selesa kepada masyarakat Islam setempat, selain memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, perpaduan dan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.

Sehubungan itu, semua pihak berharap segala urusan pembinaan dapat berjalan lancar dan projek berkenaan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan demi manfaat seluruh masyarakat Islam di Kabong.

Oleh Adi Safarman