BETONG, 12 November: Penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda perlu terus diperkukuh bagi melahirkan tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelbagai projek pembangunan dan inisiatif strategik yang dirancang kerajaan negeri memerlukan kepakaran tinggi dalam bidang sains dan teknologi.
Menurutnya, pendedahan serta penguasaan STEM sejak di bangku sekolah amat penting bagi memastikan anak muda Sarawak bersedia merebut peluang dalam bidang berteknologi tinggi yang semakin berkembang.
Beliau turut menyentuh hasrat Premier Sarawak untuk melancarkan roket di Sarawak pada masa akan datang, sekali gus menggambarkan potensi pembangunan teknologi tinggi yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir tempatan.
“Kita perlu menggalakkan lebih ramai pelajar mendalami bidang STEM kerana pembangunan Sarawak pada masa hadapan memerlukan penguasaan sains dan teknologi.
“Generasi muda perlu bersedia untuk mengisi peluang dalam bidang-bidang baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tingkatan Enam dan Apresiasi Pencapaian Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Augustine di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah menyarankan agar peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) turut dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan program STEM di sekolah, selain membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur pendidikan.
“Sekolah bukan sahaja perlu dilengkapi kemudahan pembelajaran yang baik, malah perlu menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang STEM melalui pendedahan awal.
“Kepentingan pendidikan dalam membentuk generasi berdaya saing turut terserlah menerusi kejayaan pelajar SMK Saint Augustine yang menerima pengiktirafan atas pencapaian akademik masing-masing,” ujarnya.
Antara penerima anugerah ialah Mayvellyne Maga Bathalameu yang meraih lapan pengiktirafan, termasuk kecemerlangan keseluruhan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pencapaian cemerlang bagi Semester Satu dan Dua.
Beliau berkata kejayaan itu dicapai hasil pengurusan masa yang baik dalam mengimbangi tuntutan akademik dengan jadual aktiviti sekolah yang padat, khususnya sepanjang Semester Tiga.
Menurutnya, kira-kira 10 jam sehari diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran dan aktiviti sosial sepanjang tempoh pembelajaran Semester Tiga yang berlangsung selama enam bulan.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Nazmi Allif Abu yang menerima enam pengiktirafan termasuk Anugerah Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Terbaik STPM, berkata sokongan ibu bapa dan guru menjadi antara faktor utama yang mendorong kejayaannya.
Beliau turut menjadikan aktiviti senaman sebagai kaedah mengurus tekanan, merehatkan minda dan mengekalkan kecergasan, selain mengamalkan jadual ulang kaji secara teratur.
Terdahulu, majlis bertemakan Menyemai Potensi, Menuai Kejayaan itu menyaksikan seramai 430 penerima anugerah, termasuk 69 pelajar Tingkatan Enam, diraikan atas pencapaian masing-masing bagi sesi persekolahan 2026.
Majlis berkenaan menghimpunkan warga sekolah, ibu bapa serta komuniti pendidikan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan pencapaian pelajar, selain mencerminkan komitmen sekolah dalam membudayakan kecemerlangan akademik.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Betong, Edwin Agam; serta Pengetua SMK Saint Augustine, Ujai Sambau.
Oleh Adi Safarman





