KABONG, 12 November: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun 11 bulan yang dipercayai hamil selepas menjalinkan hubungan dengannya.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh sawit itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji di sebuah rumah panjang di Kabong, hari ini.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada seorang guru berusia 48 tahun yang bertindak sebagai pengadu dalam kes berkenaan.
Siasatan awal mendapati pengadu, yang merupakan guru besar di sekolah tempat mangsa belajar, telah didatangi ibu mangsa bersama anaknya kira-kira 9.10 pagi tadi.
Ibu mangsa memaklumkan bahawa anaknya hamil dan menyatakan hasrat untuk memberhentikan persekolahannya sebelum mengahwinkannya dengan lelaki terbabit.
Bagaimanapun, pihak sekolah yang menerima maklumat itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis memandangkan mangsa masih kanak-kanak.
Hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek mula berkenalan pada pertengahan 2025 sebelum menjalinkan hubungan pada awal 2026.
Mangsa turut memaklumkan kepada polis bahawa hubungan seksual antara mereka berlaku sebanyak tiga kali pada Jun 2026.
Mangsa hanya menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya semalam selepas pulang dari sekolah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Suspek yang ditahan didapati negatif dalam ujian saringan air kencing.
Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai selesai selepas tangkapan dilakukan, manakala siasatan lanjut akan diteruskan mengikut proses perundangan.
Oleh Adi Safarman



