BINTULU, 12 November: Universiti bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran profesional, malah perlu membentuk insan yang mempunyai ketahanan mental, kematangan emosi serta kepekaan sosial.
Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Prof. Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, pembangunan modal insan yang seimbang penting bagi memastikan kemajuan ilmu dan teknologi turut membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
Menurutnya, kemajuan dalam bidang pertanian, penyelidikan dan produktiviti makanan tidak akan memberikan manfaat sepenuhnya sekiranya tidak disokong oleh masyarakat yang sihat pemikirannya, stabil emosinya serta sejahtera kehidupannya.
“Kita boleh membangunkan teknologi pertanian yang hebat, menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan meningkatkan produktiviti makanan.
“Tetapi pada akhirnya, semua kemajuan ini memerlukan manusia yang sihat pemikirannya, stabil emosinya dan sejahtera kehidupannya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kesedaran Isu Sosial Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau berkata, selepas menamatkan pengajian, graduan akan menjadi sebahagian daripada masyarakat dan memainkan peranan dalam pembangunan keluarga, komuniti serta negara.
Justeru, universiti perlu memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, tetapi turut mempunyai kesejahteraan mental, emosi dan sosial.
Shahrul berkata, penganjuran konvensyen itu merupakan satu inisiatif bermakna untuk membawa ilmu dan kepakaran universiti keluar daripada bilik kuliah serta makmal penyelidikan kepada masyarakat.
Tambahnya, usaha itu membolehkan universiti memainkan peranan lebih luas dalam menangani isu sosial melalui perkongsian pengetahuan dan kepakaran dengan komuniti.
“Sekiranya kita mahu membina masyarakat yang sejahtera, maka kita perlu bermula dengan membina manusia yang sejahtera,” katanya.
Konvensyen bertemakan ‘Membina Spiritualitas, Memperkasa Komuniti, Mensejahterakan Sarawak’ itu dianjurkan bersama oleh Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MIDS) Daerah Bintulu dan UPMS dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.
Oleh Carolyne Utih





