KUCHING, 12 November: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak bakal menghimpunkan penggiat seni, reka bentuk dan industri kreatif dari dalam dan luar negara menerusi penganjuran Good Design Week (GDW) 2026 dari 30 November hingga 6 Disember ini.
Program anjuran Sekolah Reka Bentuk dan Seni universiti itu menampilkan pelbagai aktiviti yang menggabungkan seni, reka bentuk, sains, teknologi dan ekonomi kreatif, termasuk pameran antarabangsa, simposium, program jaringan industri serta bengkel bersama penggiat industri televisyen dari Hong Kong.
Semua aktiviti sepanjang minggu berkenaan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai, termasuk pelajar, penggiat industri kreatif, pendidik, usahawan dan masyarakat umum.
Antara pengisian utama ialah pameran antarabangsa bertajuk “Antara Realiti” (In-Between Realities) yang berlangsung dari 30 November hingga 6 Disember di Pusat Sains Sarawak.
Pameran itu mengetengahkan karya seni dan penyelidikan kreatif yang meneroka hubungan antara dunia fizikal, digital dan imaginasi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), media interaktif, persekitaran imersif, warisan digital serta teknologi kreatif.
Selain itu, simposium antarabangsa bertajuk “Keberhasilan Kreatif dalam Reka Bentuk, Seni dan Media Baharu” (Creative Profitability in Design, Arts, and Emerging Media) dijadualkan berlangsung pada 2 Disember di kampus Swinburne Sarawak.
Simposium itu bakal menghimpunkan 14 penceramah dari lapan negara, termasuk Profesor John McCormick dan Profesor Gianni Renda dari Universiti Teknologi Swinburne di Melbourne, bagi membincangkan perkembangan AI, media digital, inovasi reka bentuk, keusahawanan kreatif, warisan budaya dan teknologi imersif.
Pada tarikh sama, program Industry X Day 2026 turut diadakan bagi menghubungkan pelajar, rakan industri, penggiat kreatif dan syarikat menerusi perkongsian idea, penerokaan teknologi serta peluang kerjasama.
Program itu merangkumi tiga komponen utama, iaitu pameran hasil karya dan projek inovatif pelajar, demonstrasi teknologi serta peralatan digital, selain ruang jaringan profesional yang menghubungkan pelajar, graduan dan wakil industri.
Turut diadakan ialah Bengkel Pecutan Idea Kreatif Brandstorm (Brandstorm Workshop Sprint) dengan kerjasama Mojo Media, yang memberi peluang kepada peserta meneroka cabaran kreatif dan menghasilkan idea baharu menerusi aktiviti kolaboratif.
GDW 2026 turut menampilkan dua bengkel khas bersama delegasi profesional dari industri televisyen dan hiburan Hong Kong menerusi inisiatif Koridor Budaya Hong Kong-Sarawak.
Antara tokoh yang terlibat ialah pelakon dan personaliti televisyen Hong Kong, Dr Ellesmere Choy Tsz Kin; penerbit televisyen berpengalaman serta bekas eksekutif kanan produksi TVB, Poon Ka Ta dan pelakon Jason Lam Yuen Ying.
Bengkel pertama bertajuk “Daripada Skrip ke Skrin: Penerbitan Siri Drama Televisyen” (From Page to Screen: Producing a TV Drama Series) akan dikendalikan Poon Ka Tak yang berkongsi proses penerbitan drama televisyen, bermula daripada pembangunan idea dan penulisan skrip hingga penggambaran serta pascaproduksi.
Bengkel kedua bertajuk “Cara Menjadi Pengacara Televisyen yang Baik” (How to Be a Good TV Presenter) pula akan dikendalikan Dr Ellesmere Choy bagi berkongsi teknik membina keyakinan, berkomunikasi di hadapan kamera serta menyampaikan maklumat secara berkesan dalam bidang televisyen dan media digital.
Menurut Swinburne Sarawak, penganjuran GDW 2026 bertujuan memperkukuh hubungan dengan institusi akademik, industri kreatif dan organisasi kebudayaan antarabangsa, selain membuka ruang untuk pertukaran ilmu serta kerjasama merentas bidang.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan pendaftaran menerusi laman sesawang rasmi universiti di www.swinburne.edu.my/events/good-design-week-2026.
Oleh Shikin Mahmud




