Tiga rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tabuan Hilir

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN di Kampung Tabuan Hilir, Jalan Setia Raja, pagi tadi memusnahkan tiga daripada lima rumah kayu sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus. Sebanyak 29 mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

KUCHING, 12 November: Tiga daripada lima rumah kayu musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Tabuan Hilir, Jalan Setia Raja, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, TPgB II Tan Min Chai berkata, dua lagi rumah mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus akibat bahangan, manakala sebuah motosikal turut terbakar.

Dalam kenyataan hari ini, beliau memaklumkan kebakaran yang dilaporkan pada 7.49 pagi itu melibatkan seramai 29 mangsa, terdiri daripada 26 orang dewasa termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) serta tiga kanak-kanak.

PUNCA kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Kesemua mangsa dilaporkan selamat dan tiada yang mengalami kecederaan.

Operasi pemadaman dijalankan oleh anggota BBP Tabuan Jaya dengan bantuan BBP Padungan, menggunakan dua aliran hos sepanjang 400 kaki dan empat nozel.

Pasukan bomba turut menggunakan sumber air daripada pili bomba dan jentera tangki air bagi mengawal kebakaran sebelum pemeriksaan menyeluruh dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca nyalaan di lokasi kejadian.

DATUK Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng meninjau keadaan di lokasi kebakaran di Kampung Tabuan Hilir, Jalan Setia Raja, Kuching.

Operasi itu melibatkan 19 anggota dengan sokongan dua jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah jentera Bomba dan Penyelamat Kompak (CFRT) serta dua jentera tangki air.

Turut membantu operasi ialah empat anggota polis, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan tiga anggota Sarawak Energy.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng turut hadir di lokasi kejadian.

Oleh Afiq Sallehi