JAKARTA, Indonesia, 12 November: Daripada usahawan dalam bidang makanan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka telah melalui pelbagai perubahan dalam perjalanan hidupnya dan sering terpalit dengan kontroversi.
Tempoh perkhidmatan lelaki berusia 39 tahun itu sebagai naib presiden berakhir selepas hanya dua tahun apabila kontroversi berkaitan sijil tamat sekolah menengahnya menjadi tamparan terakhir terhadap kerjaya politik beliau.
Gibran ialah anak sulung bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi dan merupakan pendahulu Presiden semasa, Prabowo Subianto.
Ketika muda, Gibran membangunkan perniagaan katering dan perancangan majlis perkahwinan sebelum mengikut jejak langkah bapanya pada 2021 dengan menceburi bidang politik sebagai Datuk Bandar Solo, di wilayah Jawa Tengah. Beliau dilahirkan di bandar itu pada 1 Oktober 1987.
Beliau sering dituduh memperoleh jawatan tersebut menerusi amalan nepotisme, meskipun tidak mempunyai pengalaman penglibatan politik dengan mana-mana parti.
“Saya sering dibuli dan dihina sejak dahulu lagi. Saya tidak pernah membuat laporan polis berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita sebelum ini.

Tokoh generasi milenial yang bersikap tenang dan tidak banyak bercakap itu sekali lagi menjadi sasaran kritikan apabila dipilih sebagai calon naib presiden bergandingan dengan Prabowo dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Pemilihan itu mengukuhkan hubungan antara Parti Gerindra pimpinan Prabowo dengan tokoh yang sehaluan dengan Jokowi, sekali gus memudahkan laluan Prabowo untuk menerajui negara.
Namun, perjalanan politik Gibran tidak semudah itu.
Pengkritiknya mengkritik kekurangan pengalaman politik beliau serta mendakwa beliau tidak mempunyai gagasan dasar yang jelas.
Mereka turut mendakwa beliau cuba menyembunyikan kelemahan dengan memperlekehkan pihak lawan dan menjawab soalan secara ringkas atau sinis.
Beliau turut berdepan kekangan perlembagaan apabila undang-undang pilihan raya Indonesia menetapkan bahawa calon presiden dan naib presiden mestilah berusia sekurang-kurangnya 40 tahun.
Ketika itu, Gibran baru berusia 36 tahun. Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan yang ketika itu diketuai bapa saudaranya melalui perkahwinan, Anwar Usman, memutuskan bahawa syarat umur berkenaan tidak terpakai kepada individu yang pernah dipilih memegang jawatan awam, seperti datuk bandar.
Pengkritiknya ketika itu melabel Gibran sebagai “anak tidak sah taraf Perlembagaan”.
“Mereka anggap saya tidak tahu apa-apa”
Hampir dua tahun selepas memegang jawatan naib presiden, pihak yang menentangnya memfailkan permohonan di Mahkamah Perlembagaan pada tahun ini untuk mencabar kedudukannya, dengan mendakwa tiada bukti bahawa beliau menamatkan persekolahan di peringkat menengah, sedangkan kelayakan itu merupakan syarat untuk memegang jawatan berkenaan.
Ketika mengemukakan pencalonannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) pada 2024, Gibran menyerahkan sijil yang menyatakan bahawa kelayakan pendidikan yang diperolehnya di luar negara setaraf dengan kelayakan sekolah menengah vokasional di Indonesia.
Beliau menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa beliau telah melanjutkan pengajian sehingga memperoleh ijazah dalam bidang pemasaran.
“Jika saya tidak menamatkan persekolahan di peringkat sekolah menengah, sudah tentu saya tidak dapat melanjutkan pengajian ke kolej. Saya melanjutkan pengajian sehingga memperoleh ijazah sarjana muda di Singapura,” katanya.
Gibran dilihat tidak begitu mengendahkan kritikan terhadap dirinya.
“Orang ramai menganggap saya tidak tahu apa-apa… malah mengatakan saya takut berdebat,” katanya sebelum ini.
“Namun, jelas bahawa hasil doa dan sokongan anda semua, Encik Prabowo dan saya kini berada di sini.”
Gibran berkahwin dengan Selvi Ananda, yang dikenalinya ketika wanita itu menyertai pertandingan ratu cantik di Solo pada 2009.
Gibran merupakan salah seorang juri pertandingan berkenaan. Pasangan itu dikurniakan dua orang anak.
Kejatuhan Gibran mungkin menandakan cabaran terhadap hubungan antara Prabowo dengan Jokowi pada masa hadapan.
Kedua-dua tokoh itu pernah bersaing sebanyak dua kali dalam pilihan raya presiden dan kedua-duanya dimenangi oleh Jokowi.
Bagaimanapun, bekas pesaing politik itu kemudiannya menggabungkan parti masing-masing dalam pakatan pemerintah yang dilihat ramai sebagai kerjasama atas kepentingan politik.
Gibran dan beberapa sekutu Jokowi turut dilantik memegang jawatan penting dalam kerajaan Prabowo. – AFP





