Naib Presiden Indonesia letak jawatan susulan kontroversi sijil tamat sekolah menengah

Facebook
WhatsApp
GAMBAR fail menunjukkan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, menghadiri upacara memperingati Hari Pancasila di Gedung Pancasila, sebuah dewan bersejarah dalam kompleks Kementerian Luar Negeri di Jakarta, pada 2 Jun 2025. Gibran, 39, mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Prabowo Subianto dan Parlimen, menurut Yang Dipertua Majlis Permusyawaratan Rakyat Indonesia kepada pemberita pada 12 November 2026. Foto AFP

JAKARTA, Indonesia, 12 November: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, meletakkan jawatan ketika berdepan kontroversi berkaitan sijil tamat sekolah menengahnya, sekali gus menambah tekanan terhadap kerajaan yang berhadapan dengan ketidakpuasan hati rakyat berhubung keadaan ekonomi, rasuah dan kebakaran hutan.

Gibran, 39, mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Prabowo Subianto dan Parlimen, menurut Yang Dipertua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Ahmad Muzani, kepada pemberita.

Desakan supaya Gibran meletakkan jawatan semakin meningkat susulan keputusan Mahkamah Agung bulan lalu yang membatalkan pengiktirafan kelayakan sekolah menengahnya yang diperoleh di luar negara.

Ahmad berkata, Gibran bertemu dengan barisan pemimpin Parlimen pada Khamis untuk “menyerahkan surat peletakan jawatannya daripada jawatan Naib Presiden Republik Indonesia”.

Gibran turut memaklumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat yang sama kepada Prabowo.

Jawatan naib presiden Indonesia tidak mempunyai banyak kuasa yang diperuntukkan secara khusus oleh Perlembagaan, selain mewakili presiden dalam acara rasmi dan mengambil alih tugas sekiranya presiden tidak berupaya menjalankan tanggungjawabnya.

Nilai mata wang Indonesia, rupiah, merosot ke paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat ketika spekulasi mengenai peletakan jawatan Gibran semakin meningkat, manakala Bursa Saham Indonesia mencatatkan kenaikan 2.2 peratus.

GAMBAR fail menunjukkan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, menghadiri ucapan Presiden Prabowo Subianto mengenai rangka kerja makroekonomi kepada anggota Parlimen di Bangunan Parlimen di Jakarta pada 20 Mei 2026. Foto AFP

Penyusunan semula landskap politik

Kejatuhan politik Gibran berlaku selepas ribuan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi jalanan sejak beberapa minggu lalu bagi membantah kesusahan ekonomi, rasuah, amalan yang dianggap autoritarian serta pengendalian kerajaan terhadap kebakaran hutan yang berlarutan selama beberapa bulan sehingga menyebabkan jerebu toksik.

Peletakan jawatannya berkemungkinan merumitkan pakatan longgar dalam kerajaan yang melibatkan Prabowo dan pendahulunya, Joko Widodo, yang juga bapa Gibran dan lebih dikenali sebagai Jokowi.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Keselamatan dan Strategik (ISESS) Khairul Fahmi berkata, peletakan jawatan itu “menandakan penyusunan semula landskap politik yang ketara, namun tidak semestinya mengancam kestabilan kerajaan”.

“Jokowi akan terus mempunyai pengaruh politik, namun pemergian Gibran boleh mengurangkan akses langsung rangkaiannya kepada kuasa. Bagi Prabowo, perkembangan ini memberikan ruang lebih luas untuk mengukuhkan kepimpinannya dan melaksanakan agenda politik sendiri,” katanya kepada AFP.

Ahmad tidak menyatakan alasan yang diberikan Gibran berhubung keputusan untuk meletakkan jawatan.

Memasuki tahun kedua pentadbirannya, tahap populariti Prabowo mencatatkan paras terendah sejak beliau memegang jawatan itu.

Minggu lalu, pihak berkuasa Indonesia menahan bekas Ketua Polis Negara dan tiga pegawai kanan polis kerana didakwa memintas komunikasi telefon presiden.

Kebangkitan Prabowo ke tampuk kuasa sebahagian besarnya dikaitkan dengan sokongan Jokowi, yang mendapat populariti tinggi ketika berkhidmat selama dua penggal dari 2014 hingga 2024.

Pemilihan Gibran sebagai calon naib presiden mengukuhkan hubungan antara Parti Gerindra pimpinan Prabowo dengan tokoh yang sehaluan dengan Jokowi, yang sebelum itu merupakan pesaing politiknya dan menewaskannya sebanyak dua kali dalam pilihan raya presiden.

Menerusi pakatan itu, Gibran dan beberapa sekutu Jokowi yang lain dilantik untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan Prabowo. Prabowo dilihat mempunyai hubungan rapat dengan pihak tentera, manakala pasukan polis secara tradisinya lebih cenderung menyokong Jokowi.

SEORANG pengurup wang memegang wang kertas rupiah di sebuah pejabat pertukaran mata wang di Jakarta pada 12 Mei 2026, ketika nilai rupiah merosot berbanding dolar Amerika Syarikat. Foto AFP

Naib presiden termuda

Gibran menjadi individu termuda pernah memegang jawatan Naib Presiden Indonesia.

Namun, selepas dua tahun memegang jawatan itu, pihak yang mengkritiknya membawa isu kesahihan sijil tamat sekolah menengah beliau ke mahkamah untuk dicabar, sedangkan kelayakan berkenaan merupakan antara syarat bagi memegang jawatan tersebut.

Gibran menamatkan persekolahannya di Singapura sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang pemasaran di negara itu.

Ketika mengemukakan pencalonannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) pada 2024, beliau menyerahkan sijil yang menyatakan bahawa kelayakan pendidikan yang diperolehnya di luar negara setaraf dengan kelayakan sekolah menengah vokasional di Indonesia.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung Indonesia pada bulan lalu memutuskan untuk membatalkan pengiktirafan dokumen berkenaan, sekali gus mencetuskan usaha dalam Parlimen untuk melucutkan jawatannya.

Gibran secara konsisten mempertahankan kelayakannya.

“Jika saya tidak menamatkan persekolahan di peringkat sekolah menengah, sudah tentu saya tidak dapat melanjutkan pengajian ke kolej. Saya melanjutkan pengajian sehingga memperoleh ijazah sarjana muda di Singapura,” katanya.

Prabowo kini mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan dua nama calon, sebelum Parlimen diberi masa dua bulan untuk memilih pengganti Gibran.

Penyelidik Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia (CSIS), Arya Fernandes, memberitahu AFP bahawa Prabowo berkemungkinan mencari “calon yang boleh diterima oleh semua anggota gabungan bagi mengelakkan perpecahan dalam pakatan itu”, yang turut merangkumi parti Jokowi.

“Calon naib presiden yang dikemukakan Prabowo berpotensi menjadi gandingannya dalam pilihan raya 2029 atau muncul sebagai pesaing politik.

“Oleh itu, beliau akan mempertimbangkan dengan teliti kelebihan dan kekurangan setiap calon yang berpotensi,” katanya. – AFP