MELAKA, 11 November: Karnival MADANI Kenali Borneo yang julung kali dianjurkan di Melaka akan diperluas ke negeri-negeri lain, sebagai usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus mengangkatnya sebagai naratif nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata penganjuran program itu, merupakan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak bagi memastikan isu berkaitan MA63 tidak hanya dilihat sebagai perkara yang melibatkan Sabah dan Sarawak, sebaliknya difahami seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata Melaka dipilih sebagai lokasi projek rintis berikutan nilai sejarah negeri itu, khususnya sebagai lokasi pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
“Ini, hasrat Perdana Menteri supaya rakyat Malaysia keseluruhannya dapat memahami asas pembentukan negara ini yang berteraskan MA63…sebab tanpa perjanjian ini tidak wujudnya Malaysia.
“Ini difahami oleh kepimpinan terdahulu tetapi bila isu ini tidak diangkat, ini menyebabkan ramai yang menganggap bahawa isu MA63 ini hanya berlegar dalam kalangan orang-orang Sabah dan Sarawak saja.
“Kita mahu kefahaman semua rakyat supaya dapat menjaga keharmonian negara dengan memahami tuntutan hak rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Karnival MADANI Kenali Borneo di Dataran Keris, di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Melaka Afzai Nizam Sandiman.
Mustapha berkata program itu akan diperluas ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak, dengan pelaksanaan berdasarkan zon namun konsep penganjuran di negeri lain mungkin berbeza mengikut kesesuaian lokasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata banyak kemajuan telah dicapai dalam rundingan serta pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata daripada 29 perkara yang menjadi tuntutan di bawah MA63, 16 perkara telah diselesaikan dengan 12 daripadanya di bawah Kerajaan MADANI, manakala hanya dua oleh kerajaan terdahulu.
Mustapha berkata di bawah Kerajaan MADANI juga pemberian bayaran interim untuk Sabah tahun ini, telah ditingkatkan daripada RM300 juta kepada RM1.5 bilion.
Karnival MADANI Kenali Borneo yang berlangsung di Melaka menyediakan pelbagai program antaranya reruai pameran, Jualan Rahmah MADANI, aktiviti digital, persembahan kebudayaan dan pertandingan e-sukan.- Bernama





