Penipuan menyamar sebagai rakan, lelaki rugi RM20,000

Facebook
WhatsApp

SERIAN, 12 November: Seorang lelaki berusia 50 tahun dari Kuching mengalami kerugian sebanyak RM20,000 selepas menjadi mangsa penipuan melibatkan individu menyamar sebagai rakannya.

Ketua Polis Daerah Serian, Supt Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian telah menerima laporan berhubung kes berkenaan yang dipercayai berlaku kira-kira 11.30 pagi pada 11 November ketika mangsa berada di sebuah kedai kopi di Serian.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai rakan yang dikenalinya.

Individu berkenaan kemudian meminta untuk meminjam wang sebanyak RM20,000 dengan alasan wang tersebut diperlukan bagi membayar gaji pekerjanya.

Mempercayai individu tersebut ialah rakannya, mangsa kemudiannya membuat dua transaksi pemindahan wang di kaunter sebuah bank ke akaun yang diberikan oleh suspek.

Bagaimanapun, selepas transaksi dilakukan, mangsa menyedari bahawa individu berkenaan sebenarnya bukan rakannya, sebaliknya dipercayai seorang penipu yang menyamar menggunakan identiti rakannya.

Freddy berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Semakan awal mendapati nombor telefon yang digunakan suspek tidak mempunyai rekod dalam sistem semakan akaun keldai.

Bagaimanapun, akaun bank yang terlibat didapati mempunyai rekod laporan polis di daerah lain.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta mengesan aliran wang yang telah dipindahkan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan penipuan melibatkan penyamaran sebagai rakan atau kenalan, khususnya melalui panggilan telefon dan aplikasi komunikasi.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengesahkan identiti individu yang meminta pinjaman wang dengan menghubungi rakan berkenaan menggunakan nombor telefon asal yang diketahui.

Mereka juga diingatkan supaya tidak terburu-buru membuat pemindahan wang, berhati-hati terhadap permintaan bantuan kewangan atas alasan kecemasan serta membuat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi.

Mangsa penipuan diminta segera menghubungi pihak bank masing-masing dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 untuk tindakan lanjut.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan.

Oleh Connie Chieng