KUCHING, 12 November: Pembangunan empat zon utama di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) perlu dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan manfaatnya dinikmati seluruh masyarakat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kawasan pusat bandar, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan serta potensi setiap kawasan.
Beliau berkata, empat zon berkenaan ialah Muara Tuang, Stakan, Asajaya dan Sadong yang masing-masing mempunyai keutamaan pembangunan tersendiri.

Katanya, Muara Tuang dan Stakan memerlukan peningkatan infrastruktur, jaringan jalan raya serta kemudahan awam, manakala Asajaya dan Sadong perlu diberikan perhatian dalam pembangunan ekonomi luar bandar, kemudahan asas dan akses perhubungan.
Demikian menurut teks ucapan Premier Sarawak yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada majlis makan malam Ulang Tahun Ke-10 MPKS di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Kota Samarahan kini berkembang sebagai pusat pendidikan, kesihatan, perumahan dan kegiatan ekonomi dengan jumlah penduduk menghampiri 200,000 orang.

Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara MPKS, Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan agensi kerajaan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan lebih tersusun serta memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa operasi perintis Transit Aliran Autonomi (ART) bagi laluan Rembus ke Northbank disasarkan bermula pada penghujung tahun ini, manakala cadangan pembangunan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang dijangka membuka peluang pertumbuhan ekonomi di Samarahan.
Pada masa sama, beliau menggariskan lima keutamaan strategik MPKS, iaitu peningkatan infrastruktur, kebersihan persekitaran, kecekapan tadbir urus, pembangunan inklusif dan mampan serta pengukuhan kerjasama strategik.

Sementara itu, sepanjang sedekad penubuhannya, MPKS turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Smart Komuniti dan Anugerah Cemerlang Audit Teknikal, sekali gus menempatkannya antara sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menerima pengiktirafan audit berkenaan.
MPKS turut menerima Pengiktirafan Bandar Pintar Malaysia Tahap 1: Smart City Early Adopter 2026 sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia baru-baru ini.
Selain itu, MPKS menjadi bandar ke-11 di Malaysia menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia (GNAFCC) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan persekitaran lebih mesra warga emas.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran logo baharu MPKS, penyampaian penghargaan kepada kakitangan yang bersara serta hadiah Kempen 3R Peringkat MPKS 2026.
Oleh Norman B






