Liverpool sepatutnya diberikan penalti susulan insiden tarik jersi Isak – Panel

Facebook
WhatsApp
TARIKAN... Alexander Isak menjadi mangsa tarikan jersi oleh Jurrien Timber ketika Liverpool tewas 0-1 kepada Arsenal di Anfield. Foto AFP

LONDON, 11 November: Liverpool sepatutnya diberikan sepakan penalti susulan insiden pertahanan Arsenal, Jurrien Timber menarik jersi Alexander Isak dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara kedua-dua pasukan, menurut keputusan panel pakar pada hari ini.

Penyerang antarabangsa Sweden itu didapati mengalami tarikan pada jersinya oleh Timber ketika perlawanan di Anfield pada 1 November lalu, yang menyaksikan Arsenal selaku juara bertahan EPL meraih kemenangan 1-0.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Andy Madley tidak mengambil sebarang tindakan terhadap insiden tersebut, manakala pengadil bantuan video (VAR), Stuart Attwell memutuskan untuk tidak mencadangkan semakan semula.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada beberapa penganalisis bola sepak, termasuk Jamie Carragher dan Ian Wright.

Kini, Panel Insiden Utama Perlawanan (KMI) yang dianggotai lima individu memutuskan bahawa Liverpool sepatutnya diberikan sepakan penalti.

Empat daripada lima anggota panel mempertikaikan keputusan Madley kerana berpendapat tindakan Timber memenuhi kriteria kesalahan memegang atau menarik pemain lawan.

Sementara itu, tiga anggota panel berpendapat Attwell sepatutnya campur tangan kerana keputusan Madley merupakan satu kesilapan yang jelas dan nyata.

Isak bagaimanapun tidak membantah tindakan Timber kepada pegawai perlawanan ketika insiden tersebut berlaku.

Perlawanan itu menyaksikan Arsenal meraih kemenangan menerusi jaringan tunggal Kai Havertz.

Pengurus Liverpool, Andoni Iraola ketika ditanya selepas perlawanan sama ada Isak sepatutnya menjatuhkan badan susulan tindakan Timber, mengakui pemainnya mungkin perlu berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian pengadil.

“Malangnya anda bertanyakan soalan ini kepada saya, tetapi secara jujurnya, ya, kami perlu memberitahu pemain supaya menjatuhkan badan kerana jika tidak, pengadil tidak akan memberikan keputusan itu.

“Kemudian pengadil pula merungut mengapa pemain menjatuhkan badan. Ini kerana jika anda tidak jatuh, kesalahan itu tidak akan diberikan. Tetapi apabila pemain kerap jatuh, mereka pula dipersoalkan.

“Namun, saya fikir Alex seorang pemain yang jujur. Dia cuba mendapatkan bola dan semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa terdapat tarikan jersi yang ketara,” katanya.— AFP